RITA

Kuala Lumpur: "Selepas menerima ugutan bunuh, saya sekeluarga takut mahu keluar malam," kata dramatis popular, Rita Rudaini Mokhtar, 38, berhubung ugutan bunuh yang diterima menerusi komen daripada salah seorang pengikut dalam laman sosial milik bekas suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, 27.

Berikutan ugutan bunuh berkenaan, pelakon itu membuat laporan polis menerusi peguam Rita, Thalia Rohaina Abdul Latiff di Balai Polis Jalan Tun Razak di sini jam 12.44 tengah malam, Jumaat lalu.

Menurutnya, ugutan bunuh yang diterima itu juga meresahkan dirinya terutama untuk melakukan penggambaran pada waktu malam.

"Sebagai insan biasa dan ibu kepada Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2, seharusnya saya cemas dan bimbang akan keselamatan nyawa kami sekeluarga," katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Katanya, disebabkan tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak, dia tidak sangka ada peminat Aidil sanggup mahu membunuh mereka.

"Susahlah jika nak tuntut hak sendiri pun kena ugut macam-macam, saya serahkan kepada polis menyiasat perkara ini," katanya.

"Selain meminta Mohd Aidil Zafuan mengupah seseorang untuk membunuh saya, pemilik akaun itu juga dengan berani menawarkan diri untuk merancang pembunuhan saya," katanya.

Rita Rudaini dan Mohd Aidil Zafuan, 27, bernikah secara rahsia pada Februari 2008 di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada September tahun lalu.

Dia membuat tuntutan mutaah RM300,000 daripada Mohd Aidil untuk perbelanjaan dua anak mereka.

Kes pasangan itu masih menjadi kontroversi yang tidak berkesudahan dan sedang dibicarakan di mahkamah sehingga ke hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:11 AM