GANESH melihat kerja pemasangan alat penapisan air.
GANESH melihat kerja pemasangan alat penapisan air.
GANESH bersama alat penapisan air yang dihasilkannya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Ketika kecil, Ganesh Muren, 24, pernah bercita-cita menjadi jutawan namun impiannya kini lebih besar iaitu menyelamatkan nyawa golongan kurang bernasib baik menerusi penghasilan sistem penapisan air yang dipacu dengan tenaga suria.

Keinginan lulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Inernational University & Colleges (INTI) itu semakin kuat selepas dia berkenalan dengan Mira, kanak-kanak Orang Asli yang kerap mengalami cirit-birit tetapi meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Menurut Ganesh, pemergian kanak-kanak berkenaan memberi kesan kepada dirinya hingga pernah terlintas membatalkan terus projek berkenaan.

“Niat asal saya membantu Mira dan rasa patah semangat meneruskan projek yang dirancang selepas dia tiada.

“Namun, rakan memberi semangat untuk saya bangkit menyelamatkan nyawa insan lain yang mungkin senasib atau lebih teruk dan memerlukan perhatian.

“Maka bermulalah projek itu pada Mac 2013 dan antara sebab utama ia diteruskan adalah mengotakan janji kepada Mira dan sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang,” katanya.

Bercerita lanjut, Ganesh berkata, dia mula menghasilkan sistem penapisan air ketika sedang melanjutkan pengajian dan tidak sangka inisiatif itu mendapat pengiktirafan menerusi anugerah Here For Good, bulan lalu.

Malah, pencapaian itu amat bermakna bagi anak kelahiran Klang, Selangor ini kerana berjaya mengatasi 300 pemohon daripada 43 negara lain di seluruh rangkaian Laureate International Universities.

“Apa yang mampu saya lakukan adalah memanfaatkan kemahiran keusahawanan dan kejuruteraan untuk mengeluarkan alat pembersihan air serta penghasilan tenaga elektrik menggunakan tenaga suria.

“Peralatan itu ditempatkan di perkampungan Orang Asli dan kawasan luar bandar di dalam negara yang lazimnya mempunyai akses terhad kepada sumber asas berkenaan.

“Walaupun sumbangan ini kecil dan tidak seberapa, saya gembira kerana berpeluang membantu masyarakat mendapat akses kepada sumber air bersih,” katanya yang kini bergelar pengasas bagi syarikat Saora Industries.

Mengenai hala tujunya, Ganesh bercadang membantu lebih 10,000 keluarga menjelang 2018 dan wang tunai $AS10,000 (RM39,862) yang diterimanya hasil kemenangan dalam anugerah Here For Good akan digunakan untuk mengurus tadbir syarikatnya.

“Sewaktu kecil, saya menjual belalang untuk mendapatkan wang poket tambahan jadi amat mengerti kesusahan dialami orang lain terutama mereka yang menetap di kawasan pedalaman.

“Kerana itu saya berazam membantu mereka dan sehingga kini, peralatan dihasilkan sudah ditempatkan di lebih 10 kampung kecil di sekitar Pahang dan Sarawak.

“Banyak lagi yang saya mahu lakukan dan berharap semua perancangan diatur berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 1:47 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »