Ahmad Zahid bersalaman dengan pegawai diplomatik dan kakitangan Wakil Tetap Malaysia ke PBB.

New York: Lebih daripada 50 buah negara menyatakan hasrat menyertai perbahasan terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pengawalan senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Ia dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di ibu pejabat PBB, semalam.

Perbahasan itu diadakan atas inisiatif Malaysia selaku presiden Majlis Keselamatan selari dengan prinsip yang sekian lama dipegangnya mengenai pengawalan WMD, kata Ahmad Zahid kepada wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan kerjanya selama lima hari ke Amerika Syarikat bermula kelmarin.

Beliau berkata, Malaysia selaku pengerusi mesyuarat peringkat tinggi itu membuktikan komitmen negara kepada kepelbagaian dan PBB.

Perbahasan terbuka itu bertujuan mempromosi dialog seterusnya dan kerjasama mengenai pengawalan senjata terutama dalam kemunculan risiko senjata pemusnah besar-besaran kepada negara bukan pemain, katanya.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut dijangka menyertai mesyuarat tersebut.

Ahmad Zahid berkata, kunjungan beliau juga adalah sempena kepresidenan Malaysia ke atas Majlis Keselamatan bagi bulan Ogos ini.

Dalam lawatannya, timbalan perdana menteri akan turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Ivica Dacic, timbalan perdana menteri pertama dan menteri luar Serbia mengenai isu dua hala dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 6:39 AM