AHMAD Zahid disambut pegawai kedutaan Malaysia.

New York: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini untuk mewakili Malaysia pada sesi ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA).

Pesawat komersial yang membawa Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri dan delegasi Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy kira-kira 9.25 malam, Sabtu (9.25 malam Ahad waktu Malaysia).

Ini adalah lawatan keempat beliau ke Amerika Syarikat sejak menjawat jawatan timbalan perdana menteri pada Julai tahun lepas, dan penampilan sulung sebagai ketua delegasi Malaysia di UNGA.

Ketibaan beliau disambut Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, pegawai-pegawai Malaysia berpangkalan di New York dan Washington.

Lawatan kerja Ahmad Zahid ke bandar raya New York sehingga 25 September.

Selain Ahmad Zahid, delegasi Malaysia ke perhimpunan PBB dan acara berkaitan, turut diiringi Anifah dan para pegawai kanan dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri.

Bulan lepas, Ahmad Zahid mempengerusikan Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai Pengeluaran Senjata Pemusnah Besar-besaran (WMD) di ibu pejabat PBB.

Antara acara kemuncak lawatan timbalan perdana menteri ialah menyampaikan Kenyataan Negara pada semasa sesi Debat Umum pada 24 September.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:36 AM