SAMA-SAMA tegas cuma berkawan rapat meskipun muat naik gambar ‘istimewa’.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Gambar bersama dan nampak romantis yang dimuat naik pelakon popular Rita Rudaini, 40, mahupun model juga pengacara program berita hiburan hlive!, Donna Muslim, 27, hangat diperkatakan sehingga menjadi viral.

Aksi mesra mereka turut disiarkan sisipan hiburan terbaru Harian Metro, Bling! untuk ruangan Paparazi. Adakah gambar yang dimuat naik pasangan ini berupa sebahagian cara untuk memberitahu umum yang mereka sedang bercinta?

Tambah pula kisah keakraban mereka pernah dilapor dalam ruangan Cik Pang minggu lalu. Ibu bapa Donna dikatakan mengundang keluarga Rita datang beraya di kediaman mereka pada Aidiladha lalu.

Tidak kurang ada yang berpendapat foto terbabit berupa gambar praperkahwinan mereka dan menyangka mereka bercinta secara rahsia dan berjaya menyembunyikan hubungan yang terjalin.

Rita ketika dihubungi menegaskan, gambar itu tidak membawa makna mereka menjalin hubungan cinta. Katanya, apabila bergambar sudah tentu dia harus memberikan gambaran seperti dimahukan jurugambar.

“Sudah konsepnya mesra, jadi saya sebaik mungkin cuba menunjukkan ‘mood’ dimahukan agar ia nampak hidup.

“Apatah lagi ia dirakam rakan baik saya dan Donna juga antara rakan yang rapat dengan saya sekarang,” katanya.

Walaupun berkali-kali memberikan penjelasan, umum sukar mempercayainya dan mengatakan pasti kemesraan itu timbul atas rasa ‘istimewa’ yang wujud antara Rita dan Donna.

Tegas Rita, dia mengenali Donna dua tahun lalu dan rasa cinta tidak pernah wujud. Kalaupun rasa sayang itu ada, ia tidak lebih sekadar menyayangi seorang sahabat dan mengambil berat antara satu sama lain.

“Saya mula mengenali Donna sewaktu kami sama-sama terbabit dalam bazar jualan di Stadium Malawati, Shah Alam. Dia bersahabat baik dengan Pino dan dari situ kami kenal. Begitupun situasinya tidaklah rapat seperti sekarang.

“Kami akrab selepas rakaman program Le’Pak Nil di restoran Rumah Kueh dan kemudian selalu datang dan makan di restoran milik saya bersama teman-temannya,” katanya.

Rita juga akui tidak pernah menganggap umur sebagai penghalang. Katanya, tidak semestinya dia tidak boleh berkawan hanya kerana usia Donna lebih muda.

“Saya ada ramai lagi kawan yang usia mereka jauh lebih muda daripada saya. Prinsip saya, layan orang semua sama asalkan dia baik dan ikhlas dengan saya.

“Cuma sebagai kawan, saya akan tegaskan akan menjadi diri sendiri. Terpulang pada mereka boleh menerimanya atau tidak.

“Apabila berkawan, saya tidak suka kalau orang mahu berkawan kerana saya Rita Rudaini seorang pelakon. Saya benar-benar ikhlas dalam persahabatan,” katanya.

Mengenai gambar yang dimuat naik seakan-akan Rita cuba memberitahu sesuatu kepada umum membabitkan hubungannya dengan Donna, Rita serahkan perkara itu kepada umum untuk menilainya.

“Saya memang begitu, suka menaikkan gambar di laman Instagram dengan status menarik tetapi agak berteka-teki. Terpulanglah pada orang yang melihatnya untuk menilai,” katanya.

Mengenai pengalaman pertamanya bertemu dengan ibu bapa Donna, kata Rita, waktu itu jejaka bertubuh sasa itu menjemputnya untuk beraya di rumah kerana ibunya masak lebih.

“Saya senang dengan layanan diberikan keluarga Donna. Mereka sangat baik dan mesra. Saya sendiri waktu itu berasa seperti berkumpul dengan keluarga sendiri kerana keluarga saya juga begitu. Tidak ada jurang.

“Kemesraan yang ditunjukkan seperti kami sudah kenal bertahun-tahun walaupun sebenarnya kami baru beberapa kali bertemu,” katanya.

Sementara itu Donna menafikan dia menjalin hubungan cinta dengan pelakon berasal dari Kangar, Perlis itu. Katanya, gambar itu diambil bagi memenuhi permintaan teman baiknya juga rakan akrab Rita, seorang jurugambar bebas yang mahu dijadikan portfolio.

“Saya akui pelbagai andaian dibuat umum membabitkan gambar yang kami muat naik di laman Instagram tapi ia hanya gambar biasa dan tidak mempunyai maksud apa-apa,” katanya.

Jejaka berasal dari Shah Alam, Selangor itu akui setiap kali bersama Rita dan menganggap ibu kepada Airit Rayyan Rizqin, 7 dan Airit Qaqa Arjuna, 5, itu sahabat paling akrab.

“Perasaan saya terhadap Rita sekarang lebih kepada seorang sahabat. Jujur, setakat ini cinta itu belum lagi wujud antara kami. Rita sangat baik dan saya selesa berkawan dengannya.

“Perasaan saya terhadapnya lebih kepada rasa hormat apatah lagi dia orang berpengalaman dalam industri seni,” katanya.

Donna juga akui ibu bapanya bertanya mengenai hubungannya dengan Rita. Katanya, mungkin mereka terbaca cerita menerusi akhbar membabitkan hubungan akrab mereka malah tergerak hati untuk singgah di restoran Rita.

“Memang mereka tanya tetapi lebih kepada mengambil berat mengenai perkembangan anak mereka. Tambah pula saya sudah lama sendiri dan tidak punya siapa-siapa selepas putus cinta beberapa tahun lalu. Tapi saya sudah jelaskan bahawa Rita adalah sahabat saya.

“Gambar Rita berkunjung ke rumah saya pula diambil sehari sebelum Aidiladha dan saya juga jemput rakan rapat yang lain.

“Kebetulan sewaktu ibu bapa saya datang ke Rumah Kueh, mereka tidak berkesempatan bertemu Rita dan sebagai balasan, Rita datang beraya ke kediaman saya,” katanya.

Donna juga akui Rita mempunyai ciri-ciri wanita dicarinya dan memuji Rita seorang ibu yang baik dan sangat berdikari.

“Dia seorang yang penyayang dan tidak pernah ambil sesuatu perkara dengan mudah dan sangat bersungguh. Bagi orang biasa, ada perkara dilihat ringan tetapi tidak Rita. Dia sangat fokus. Tidak dinafikan dia sangat mengambil berat orang yang rapat dengannya.

“Kami jarang bertemu kerana masing-masing sibuk. Dalam situasi itu, dia tahu saya banyak kerja dan dia akan tanya sama ada saya sudah makan atau belum. Kalau saya belum makan, dia suruh saya datang ke restoran untuk makan terlebih dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:06 AM