Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kiri) mengucapkan tahniah kepada Raja Muda Selangor yang menerima watikah tauliah sebagai leftenan muda di Kem Terendak, Melaka, Julai lalu. - Foto Fail
BERNAMA

Shah Alam: Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor di Istana Alam Shah, Klang, Sabtu ini.

Istiadat pemasyhuran gelaran, mengangkat sumpah dan menjunjung Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah sebagai Raja Muda Selangor diadakan dua hari iaitu Sabtu ini dan Sabtu depan (15 Oktober).

Tengku Amir Shah, 25, yang diputerakan pada 12 Disember 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat, adalah anak bongsu daripada tiga beradik, hasil perkahwinan ayahandanya Sultan Sharafuddin dengan bondanya, Puan Nurlisa Idris, warganegara Amerika Syarikat.

Tengku Amir Shah mendapat pendidikan awal rendah dan menengah di Alice Smith School, Kuala Lumpur, sebelum melanjutkan pelajaran ke Wellington College, United Kingdom dari 2004 hingga peringkat A-Level pada 2009. Baginda melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Leeds University, United Kingdom pada 2014.

Tengku Amir Shah juga menjalani kursus persediaan ketenteraan di Akademi Tentera Darat (ATD), Port Dickson, Negeri Sembilan, pada September 2014 sehingga Disember 2014, sebelum mendaftar di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom sehingga April 2016.

Baginda ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 19 Julai 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 11:05 PM