TEMPAT letak kereta bertingkat di Jalan Cenderawasih Taman Botani KL mula beroperasi.

Kuala Lumpur: Tiga lagi projek bangunan parkir bertingkat dibina di sekitar bandar raya ini bagi mengurangkan beban penduduk dengan masalah kekurangan parkir.

Projek berkenaan selaras dengan pembinaan stesen transit aliran massa oleh Mass Rapid Transit Corp (MRT) yang dijangka siap pada 2016 yang memerlukan bangunan parkir bertingkat bagi kawasan Puduraya, Brickfields dan Taman Segar.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya melalui Jabatan Perancangan Bandar sentiasa melakukan pemantauan terhadap kawasan yang memerlukan kemudahan parkir bertingkat.

“Walaupun DBKL menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam, namun kawasan parkir mencukupi masih diperlukan.

“Dengan adanya bangunan parkir bertingkat di lokasi yang ditetapkan, penduduk bolehlah menggunakannya sebelum menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja,” katanya pada majlis prapelancaran bangunan parkir bertingkat Fasa 1 di Taman Botani Perdana, di sini, semalam.

Bangunan parkir empat tingkat di Taman Botani Perdana itu boleh memuatkan 410 kenderaan termasuk parkir khas bagi orang kurang upaya (OKU) dan wanita.

Projek pembinaan yang menelan kos lebih RM19 juta itu turut dilihat sebagai penyelesaian bagi masalah parkir kepada pengunjung Taman Botani Perdana terutama pada hujung minggu.

Ahmad Phesal berkata, setakat ini, pihaknya menetapkan kadar RM3 bagi setiap kemasukan parkir, namun akan mempertimbangkan kadar seterusnya jika ia membebankan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:21 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »