EDISI pertaruh nasib dari Kota Bharu, Kelantan.
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Atas dasar ingin membantu empat anak muda sekampung dari Kota Bharu, Kelantan menzahirkan impian mereka menjadi penyanyi terkenal, Razli Hussain atau Lie yang juga bekas gitaris kumpulan Desire yang popular pada era 1980-an menubuhkan kumpulan baru dinamakan Edisi.

Edisi yang dianggotai Faris Ismail (vokal), Mohd Sazrul Nirwan Mohd Saidi (gitar), Abdul Fatah Mat (bass) dan Muhammad Nazaruddin Azmi (dram) dilabelkan Lie sebagai cukup berbakat dan kini tampil dengan album mini berjudul Gadis Bertudung.

Ia memiliki lima lagu iaitu Cinta Rindu, Cinta Bersulam Dusta, Cinta Terhalang, Beraja Di Hati dan Gadis Bertudung.

Menurut Mohd Zamri Othman selaku penerbit album, semua lagu itu mula dirakamkan Ogos lalu dan akan siap sepenuhnya pada Januari ini.

Sementara menunggu semua proses pembikinan album itu lengkap, Edisi sudah mula turun padang melakukan kerja promosi dengan memperdengarkan single pertama mereka, Cinta Rindu.

"Edisi ditubuhkan setahun lalu dan meskipun syarikat tahu penjualan album masih perlahan, namun kami sayangkan bakat empat anak muda itu. Saya dan Lie berusaha merealisasikan impian mereka untuk merakamkan lagu dan sekiranya jualan album kurang memberangsangkan, mereka masih boleh mencari makan menerusi persembahan pentas.

"Kami tertarik dengan konsep muzik pop moden yang mereka bawa dan ia mudah menangkap halwa telinga. Kemunculan Edisi bukan untuk bersaing atau menggantikan kumpulan muzik sedia ada tetapi untuk memeriahkan lagu dunia muzik tanah air," katanya.

Kata Zamri, mereka berharap pendengar di seluruh negara dapat menerima semua lagu yang terdapat dalam album itu dan menjadikan Edisi satu lagi memori baru dalam indusri muzik tanah air.

Bagi memastikan penerbitan album itu berjalan lancar, mereka turut menjadikan komposer terkenal Eddie Hamid selaku penasihat kepada penerbitan album sulung Edisi.

"Selagi diterima peminat, Edisi akan terus melangkah sejauh yang termampu oleh mereka berempat," katanya.

Pada 27 dan 28 Disember ini, Edisi menerima undangan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:00 AM