KANDUNGAN mewah diteliti.
POKEMON Go contoh kejayaan AR.
PERSEDIAAN data yang banyak.
KONSEP VR diperluas.
TEKNOLOGI ubah cara memperoleh kandungan.
IOT bakal diperkasa.
KANDUNGAN mewah diteliti.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Tahun 2017 bermula dengan perlahan bagi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Belum lagi panas dengan pengumuman penting tapi jangan disangka tenang itu bermakna tiada apa-apa yang akan berlaku.

Anda perlu berfikir dua kali jika mengatakan 2017 menjadi tahun senyap ICT meskipun ada yang menggambarkan tahun ini tahun sukar kepada industri.

Kala kesukaranlah, ICT akan membantu memacu gaya hidup pengguna sekali gus bermakna industri terbabit lebih meresap dalam jiwa masyarakat.

Lihat saja tahun lalu, siapa sangka sistem pengangkutan pengguna terutama di Malaysia menjurus ke arah perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab.

Ditambah pula, terdapat sistem pengangkutan menggunakan motosikal seakan-akan Go-Jek di Indonesia juga akan mula diperluaskan.

Semuanya boleh diakses hanya melalui telefon pintar yang terus menjadi gajet paling mendampingi manusia.

IoT

Dengan pertumbuhan peranti boleh pakai dan peranti pintar lain, IoT dan peranti yang bersambung akan membentangkan cabaran baru untuk rangkaian mudah alih apabila kelajuan pemindahan data tidak akan menjadi satu-satunya kriteria.

Keupayaan prasarana komunikasi tanpa wayar untuk menyokong jumlah ini yang dijangka mencecah sehingga 50 bilion peranti menjelang 2020.

Anda boleh lihat pada bandar pintar, sistem kejuruteraan sosial dan banyak lagi membabitkan penggunaan Internet serta gajet dalam kehidupan seharian.

Anda kini boleh mengawal mesin basuh, periuk nasi, suhu makanan dan banyak lagi hanya menggunakan telefon apabila peranti terbabit dihubungkan dengan Internet.

Kemudian, ia akan merubah konsep pengangkutan apabila kenderaan juga boleh dikawal.

Dari situ, lahirlah kenderaan tanpa pemandu dan tahun 2017 adalah waktu rancak bagi industri terbabit apabila banyak pengeluar berlumba-lumba memperkenalkan kenderaan masing-masing.

VR

Bagi mereka yang masih baru, realiti maya atau virtual reality (VR) terdiri daripada komponen realiti maya atau ‘virtual reality’ yang diadaptasi ke topeng muka seakan-akan ‘goggle’ besar.

Sekarang, VR memerlukan anda mempunyai telefon pintar seperti Samsung sebagai platform atau jantung bagi peranti ini.

Tahun ini, konsep VR akan meluas terutama dengan tambahan kandungan yang mengasyikkan. Cuma masalah perlu diselesaikan termasuk kaedah pemakaiannya yang janggal terutama kepada pemakai kaca mata.

Selain itu, faktor penggunaannya yang mudah, hanya buka penutup di depan dan masukkan telefon pintar dalam slot terbabit dan pandangan kaca mata dalam VR akan mengubah landskap serta anda akan 100 peratus berada di alam lain sudah pasti menjadi bonus tahun ini.

Sebelum ini, pengasas dan Ketua Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg membuat penampilan khas ketika Persidangan Mudah Alih Sedunia (MWC) 2016 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol untuk mengumumkan kerjasama dengan Samsung mempromosikan penggunaan VR dalam laman sosialnya.

AR

Tidak lengkap VR tanpa kita bercakap soal sektor luasan sebenar atau ‘augmented reality’ (AR) dan tiga dimensi (3D) perlu diberi tumpuan generasi masa depan memandangkan ia mampu menarik minat pelajar dalam bidang sains serta teknologi berdasarkan visual sebenar.

Berdasarkan faktor terbabit, peluasan kandungan melalui AR dan 3D memberi kesan mendalam kepada individu sekali gus merubah kaedah.

Kita boleh lihat contoh yang berlaku melalui Pokemon Go yang direka berasaskan AR.

Jika pengguna ingin melihat kehidupan dinosaur yang sudah pupus, dua teknik terbabit mampu memberi gambaran secara realiti dengan menawarkan pergerakan haiwan tertentu serta organ dalamannya.

Teknik itu juga mampu mengembalikan sejarah dengan membangunkan semula model seperti bangunan lama yang sudah dirobohkan.

Strim

Sama ada anda mahu membuat siaran langsung kehidupan peribadi anda ataupun memperoleh kandungan pada masa sebenar, ia boleh dilakukan melalui strim yang bakal menjadi trend utama tahun ini.

Ia akan ditambah dengan ciri video lebih mewah dan tidak terlalu berbentuk dua dimensi saja.

Permulaannya, kini anda boleh melihat sokongan video dalam bentuk 360 darjah dan sudah pasti ciri terbabit menjadi trend pada tahun depan.

Selepas produk Ricoh menjadi popular, Samsung membawa masuk kamera Gear 360 yang memungkinkan rakaman imej pada 360 darjah dengan dua lensa jenis ‘fisheye’ di depan dan belakang yang kedua-duanya beresolusi sehingga 30 megapiksel.

Ia dipasangkan dengan aplikasi khas yang memproses imej dan boleh dipindah turun ke YouTube, Facebook atau Google Street View. Sudah pasti, ia memperluaskan aktiviti pengguna dengan kandungan lebih mewah dan memperlihatkan banyak kreativiti dalam kalangan mereka.

Persoalannya sekarang, sejauh mana kita boleh menerima semua teknologi di atas dengan pantas dan terbuka?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 11:41 AM