FAHMIE dan mentornya, Ajai.
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Ketika dunia masih berduka dengan tragedi kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu yang masih belum dijumpai dan diikuti pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, kini dunia sekali lagi tergamam mendengar kehilangan pesawat AirAsia Indonesia, QZ8501 dekat Teluk Kumai di Laut Jawa, Ahad lalu.

Namun, tragedi itu tidak melunturkan semangat pramugara AirAsia yang juga protege Ajai dalam program Mentor Legend, Mohd Zulfahmie Esmail, 26, yang sudah lima tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu, malah berazam untuk terus menabur khidmatnya.

Dia yang lebih dikenali sebagai Fahmie di pentas Mentor Legend amat mencintai kerjaya di langit biru sejak bersekolah lagi.

Fahmie berkata, selepas menamatkan pengajian dalam bidang multimedia di Universiti Selangor (UNISEL) lima tahun lalu, dia terus memohon pekerjaan sebagai pramugara dengan AirAsia.

"Pilu hati saya mendengar tragedi yang menimpa MH370 dan MH17 kerana walaupun berbeza syarikat, namun kesedihan itu tetap dirasai dan pemergian mangsa diratapi.

"Sama ada bekerja di MAS (Penerbangan Malaysia) atau AirAsia, sebagai anak kapal kami bekerja dalam lapangan yang sama dan menghadapi risiko yang sama juga. Bak kata pepatah, 'jika dicubit paha kanan, paha kiri terasa juga'.

"Menyertai Mentor Legend, saya mengambil cuti selama tiga bulan dan alhamdulillah, majikan menyokong minat saya. Justeru kala bercuti ini, saya mengetahui kehilangan pesawat AirAsia Indonesia itu menerusi rakan-rakan dalam kumpulan WhatsApp dan Facebook," katanya.

Kata Fahmie, ketiga-tiga tragedi itu tidak membuatkannya untuk berundur diri daripada pekerjaannya sekarang kerana sebagai orang Islam, dia percaya kepada qada dan qadar yang ditetapkan Allah SWT.

"Setiap kejadian sudah tertulis dan kematian akan menjemput kita walau di mana saja kita berada sama ada di daratan, lautan ataupun di udara. Malah acapkali kita dengar ada yang dipanggil Ilahi ketika orang itu sedang nyenyak tidur.

"Saya dan rakan-rakan di AirAsia akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang syarikat penerbangan ini. Waktu dalam latihan lagi, semua anak kapal diingatkan menjaga keselamatan dalam pesawat dan bersedia dari segi mental untuk menghadapi sebarang risiko ketika bertugas," katanya.

Fahmie menitipkan doa agar keluarga mangsa bersabar dan jangan putus asa untuk terus mendoakan keselamatan ahli keluarga yang berada dalam pesawat QZ8501.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:03 AM