PENGURUSAN UKM dan PPK bergambar kenangan.
NOOR Azlan (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Azman sambil diperhatikan Abdul Wahab (kanan) dan Pengurus PPK, Azlan Miskun.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Konsep ‘universiti ladang’ yang berteraskan pendidikan sains, pertanian, penternakan, alam bina dan rekreasi berasaskan pembelajaran di luar bilik kuliah mampu meningkatkan ilmu serta persediaan pelajar menceburi industri berkenaan.

Sehubungan itu, sebuah syarikat Bumiputera, Perladangan Peserta Kundang Sdn Bhd (PPK) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bekerjasama bagi mencapai hasrat itu.

PPK melalui SPPK Agropark sementara UKM melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina sebagai rakan strategik penyelidikan, pendidikan serta penerokaan peluang ekonomi yang bakal membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Seri Noor Azlan Ghazali berkata, PPK adalah sebuah syarikat Bumiputera yang berteraskan perladangan dan penternakan sudah mengembangkan sayapnya kepada sektor pendidikan secara tidak formal.

Beliau berkata, pelan untuk merealisasikan satu konsep pendidikan di luar bilik kuliah sebagai universiti ladang dalam jangka masa lima tahun adalah sebuah wawasan yang hebat dan di luar pemikiran tipikal.

“Pendidikan kepada generasi muda pada hari ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan saja. Malah pihak swasta seperti PPK menyediakan satu bentuk pembelajaran yang interaktif kepada generasi Y dan Z.

“UKM percaya dengan pelbagai kepakaran yang dimiliki, mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada pembangunan konsep pembelajaran alternatif ini.

“Selain itu, hasil penyelidikan sedia ada di UKM mungkin boleh dimanfaatkan dalam pelaksanaan universiti ladang ini,” katanya pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) di UKM, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Beliau mewakili UKM sementara PPK diwakili Pengarah Urusannya, Azman Md Rasip.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Prof Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad dan Pengerusi PPK Salim Sojo.

Noor Azlan berkata, beliau berharap kerjasama itu menjadi platform kepada usaha pengkomersilan hasil penyelidikan yang dihasilkan penyelidik dan pelajar UKM.

“Bagi membina jaringan akademik dan industri ke arah membentuk kerjasama penyelidikan, latihan vokasional dan bidang saintifik, reka bentuk dan komersial yang memberi keuntungan kepada UKM serta PPK.

“Perkongsian pintar dari sudut pengetahuan, kemahiran, ruang, peralatan dan sumber bahan mentah dalam proses pembangunan pengajaran serta pembelajaran berkonsepkan lestari.

“Pembangunan konsep universiti ladang merangkumi mengenal pasti bidang pendidikan tidak formal, pembangunan infrastruktur, sistem pembelajaran, pembangunan sumber manusia, pembangunan teknologi baru, kaedah pengurusan, penjanaan dana dan promosi,” katanya.

Menurutnya, MoU ini juga dapat menyediakan ruang melaksanakan kursus dan khidmat latihan termasuk berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang berkaitan kepada kakitangan PPK di UKM.

“Ia termasuk menghasilkan sekumpulan graduan UKM berdasarkan model ekonomi lestari yang diamalkan pihak PPK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 10:13 AM