DR Hassan (kiri) bertukar dokumen dengan Abu Bakar (kanan) disaksikan Ahmed Zaidee (tengah) pada majlis memorandum perjanjian Dana Wakaf Ilmu UiTM bersama Perbadanan Wakaf Selangor.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan kutipan dana wakaf berjumlah RM50 juta tahun ini bagi membangunkan pelbagai aset wakaf terutama berkaitan prasarana pendidikan kepada mahasiswa dan warga universiti itu.

Selain pembinaan infrastruktur, penyelidikan dan keperluan dana ilmu, ia membabitkan wakaf khas antaranya pembinaan Kompleks Islam di Kampus Puncak Alam, di sini, yang dijangka mula dilaksanakan tahun depan.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, pelaksanaan wakaf UiTM itu tidak sesekali menggugat bajet yang diberikan kerajaan sebelum ini.

“Malah ia dapat membantu kami mengurangkan kebergantungan terhadap bajet berkenaan dan boleh menjana pendapatan selain membantu warga kampus yang memerlukan.

“Menerusi sistem e-Wakaf yang diperkenalkan sejak tahun lalu, kami setakat ini memperoleh kutipan dana lebih RM500,000 dan menyasarkan kutipan RM1 bilion menjelang 2025,” katanya selepas memeterai memorandum perjanjian (MoA) Dana Wakaf Ilmu UiTM bersama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), di sini, semalam.

MoA yang ditandatangani beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Abu Bakar Yang itu turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Ahmed Zaidee Laidin.

Menurut Hassan, pelaksanaan wakaf itu akan diuruskan Pusat Zakat, Sedekah dan Wakaf, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dan pewakaf terdiri daripada pewakaf yang enggan diketahui identiti dan pewakaf berdaftar.

Justeru, beliau berharap usaha mengejar ‘saham’ akhirat itu mendapat sambutan menyeluruh daripada lebih 180,000 mahasiswa dan warga kampus seluruh negara selain 680,000 alumni UiTM sedia ada.

“Ia dianggap perlu bagi membantu melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di 35 kampus kita, sekali gus memberi impak besar dalam sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, PWS sebagai pemegang amanah wakaf mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengalu-alukan kerjasama mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melaksanakan dana wakaf berkenaan.

“Selain UiTM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kita menjangkakan 11 IPT lain akan melaksanakannya di seluruh Selangor selepas memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 6:22 AM