DULU. Pusat Sains Asasi.
KINI. Dijadikan Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP)
DULU. Dewan Besar UPM di Serdang, Selangor.
KINI. Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) mampu memuatkan, 3000 orang dalam satu-satu masa.
DULU. Pemandangan di luar perpustakaan.
KINI. Perpustakaan Sultan Abdul Samad menjadi mercu tanda ketamadunan dan ilmu yang wujud di universiti ini.
DULU. Jabatan Sains dan Teknologi Makanan di bawah Fakulti Pertanian.
KINI. Dinaik taraf menjadi Fakulti Sains dan Teknologi Makanan pada 1 Mac 1982.
DULU. Kompleks asrama lama UPM di Serdang.
KINI. Dinamakan sebagai Kolej Mohamad Rashid antara yang tertua di UPM.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Universiti Putra Malaysia (UPM) mula ditubuhkan sebagai Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 di kawasan seluas 8.903 hektar di Serdang, Selangor dengan menawarkan dua program saja pada masa itu iaitu Program Diploma 3 tahun dan Program Persijilan 1 tahun dalam bidang pertanian.

Tanggal 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian ini dinaik taraf sebagai Kolej Pertanian Malaya oleh Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union ketika itu.

Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia seterusnya tercetus apabila Sekolah Pertanian di Serdang ini bergabung dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya.

Universiti Pertanian Malaysia memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973 menerusi pengambilan seramai 1,559 pelajar dengan memulakan pengajian di tiga fakulti pengasas dan satu bahagian asasi iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan; Fakulti Perhutanan; serta Fakulti Pertanian dan Bahagian Sains Asasi.

Pada 3 April 1997, namanya ditukar kepada Universiti Putra Malaysia bagi menggambarkan status UPM sebagai pusat pengajian tinggi yang merangkumi pelbagai bidang, terutama sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara di alaf baru ini.

Naib Canselornya Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, UPM adalah antara universiti yang mengungguli penyelidikan negara terutama di dalam bidang pertanian, apabila berjaya mengekalkan kedudukan 100 subjek terbaik dunia dalam bidang Pertanian dan Perhutanan selama lima tahun berturut-turut.

“Selain dua subjek berkenaan, UPM juga mengukuhkan kedudukan dalam pelbagai bidang lain, terutama kejuruteraan kimia, mekanikal, aeronautikal dan pembuatan, dalam QS World University Rankings by Subject 2017 yang diumumkan pada 8 Mac 2017 lalu.

“Berbekalkan nilai kecemerlangan, kepelbagaian, integriti dan kelestarian, UPM berjaya meraih pelbagai kejayaan dan pengiktirafan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Pencapaian UPM turut dilihat dalam konteks pembangunan pelajar dan penghasilan insan berpengetahuan tinggi apabila berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam tahap kebolehpasaran graduan, iaitu 83.5 peratus sehingga Disember 2016,” katanya.

Pencapaian ini jelas membuktikan graduan UPM tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Kepelbagaian kecemerlangan bakat akademik yang dimiliki UPM dalam penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan profesional juga amat dibanggakan. UPM mempunyai kira-kira 1,800 pegawai akademik, dengan 88.81% daripadanya mempunyai kelayakan PhD. Sebilangan penyelidik UPM mengharumkan nama universiti pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sehingga 2016, seba–nyak 1,800 harta intelek difailkan apabila 115 daripadanya dikomersialkan dengan jualan lebih daripada RM55.75 juta. Produk inovasi ini berjaya menembusi industri 6.4 peratus. Jumlah ini adalah lebih daripada purata penembusan kepada industri di peringkat nasional. Selain daripada produk inovasi, UPM juga menawarkan makmal yang diiktiraf ISO untuk diguna pakai oleh universiti luar, agensi kerajaan atau pihak swasta.

“Fokus penyelidikan UPM bukan sahaja tertumpu kepada penyelidikan fundamental, sehubungan itu, penyelidikan bersifat translasional yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dipergiatkan. Sebagai contoh, produk berkaitan pertanian dan sekuriti makanan dihasilkan sekumpulan penyelidik UPM melalui pemindahan teknologi dengan jenama ‘PadiU Putra’ bagi meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah padi.

“Penyelidikan di UPM juga diiktiraf secara nasional melalui penarafan Higher Institution Centre of Excellence (HiCoE) kepada Institut Biosains (IBS), Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) dan Institut Pertanian Tropika dan Produk Hutan (INTROP).

“Tahun ini, genap 10 tahun UPM menerima status sebagai Universiti Penyelidikan. Sebagai universiti penyelidikan, UPM diberi tanggungjawab menjadi hab kecemerlangan pendidikan dan penyelidikan sebagai pemacu kepada Malaysia yang maju lagi inovatif.

“Sejak 2007, UPM berjaya mengekalkan status universiti penyelidikan apabila status tersebut diperbaharui sebanyak dua kali iaitu pada 2010 dan 2013. Kejayaan ini berdasarkan pencapaian cemerlang UPM dalam penghasilan insan berpengetahuan tinggi, penerbitan berimpak tinggi, paten dan harta intelek, pengkomersialan serta penjanaan pendapatan.

“UPM komited untuk terus memartabatkan peranan pendidikan tinggi Malaysia yang seterusnya membawa kesejahteraan kepada masyarakat dan kekayaan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 3:01 PM