NEOFECT sarung tangan mekanikal dihubungkan dengan teknologi dinamakan Rapael.
NEUROMETRIX Quell kurangkan sakit kronik.
PESAKIT yang mengalami masalah tidur apnea pula boleh mendapatkan Motio HW.
RESOUND teknologi tanpa wayar yang membantu individu kurang upaya pendengaran.
THINFILM, pen injektor automatik.
EARLYSENSE yang mempunyai sensor kesihatan mudah alih diletakkan di ruang tamu rumah.
LETI Relax peranti yang memberi ketenangan berdasarkan gelombang alfa.
SHIELD ElectroClave bunuh bakteria dan virus.
TEMPTRAQ disambung menggunakan bluetooth.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Dunia perubatan antara yang mengalami perubahan teknologi ketara demi menjadikan kehidupan manusia lebih baik.

Dengan tahap kesihatan pengguna di dunia moden semakin kompleks, penggunaan teknologi dalam perubatan juga kritikal bagi membantu pesakit kembali pulih atau meringankan kesengsaraan yang dialami seharian.

Oleh itu, teknologi moden ditagih bagi merealisasikan nikmat yang mungkin hilang sebelum ini.

Antaranya, teknologi Neofect yang memperkenalkan sarung tangan mekanikal dihubungkan dengan teknologi dinamakan Rapael berdasarkan kecerdasan pintar (AI) dipasang pada tangan.

Tujuannya membantu pesakit strok menggerakkan tangan mereka ketika berada di rumah buat pertama kali.

Sarung tangan yang dihubungkan dengan sistem penjagaan rumah terbabit membantu pesakit memulihkan pergerakan tangan dengan menyalin semula aktiviti biasa di rumah seperti mengupas bawang, memotong daging atau sekurang-kurangnya bermain pingpong.

Ia direka berdasarkan tahap strok individu tertentu dan analisis akan disambung terus menggunakan Bluetooth pada sensor untuk mengenal pasti pergerakan.

Setakat ini, Neofect Rapael disewakan kepada pesakit dengan kadar bayaran kira-kira RM440 sebulan bersama sistem monitor.

Peranti boleh pakai pula antara gajet biasa yang boleh dipakai pengguna biasa namun fungsinya lebih sekadar melihat degupan jantung semata-mata.

Misalnya gajet NeuroMetrix yang menghasilkan Quell mengurangkan sakit kronik, jenis ringan dan boleh dipakai siang malam.

Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat sendiri mengiktiraf Quell sebagai peranti yang boleh mengurangkan kesakitan tanpa perlu preskripsi perubatan.

Menariknya, ia boleh ditetapkan hanya menggunakan aplikasi mudah alih dengan pesakit boleh menetapkan tahap terapi, mengurangkan atau berhenti.

Ia juga membolehkan pesakit melihat maklum balas tempoh tidur, kedudukan badan dan pergerakan kaki ketika tidur.

Peranti terbabit akan dipasang di tangan pengguna yang kemudian disambung ke elektrod menggunakan teknologi neuro dipatenkan menghantar isyarat ke otak bagi sakit tertentu.

Alat bantu dengar, ReSound yang dihubungkan iPhone pertama diperkenalkan ketika Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2014 dan ia terus menjadi teknologi tanpa wayar yang membantu individu kurang upaya pendengaran.

ReSound beroperasi mudah dengan disambung ke peranti mudah alih sebelum pelbagai aplikasi membolehkan penggunanya menetapkan bunyi yang masuk ke telinga pada jarak sehingga 80 kaki.

Siapa sangka sebatang pen juga boleh menjadi teknologi perubatan. Lihat saja pada Thinfilm iaitu pen injektor automatik pintar model YpsoMate yang membolehkan pesakit mencucuk sendiri ubat berdasarkan sakit kronik.

Pen terbabit mempunyai sambungan komunikasi medan terhampir (NFC) yang mengesan waktu ubat diperlukan.

Malah, ia dibantu aplikas yang memaparkan sejarah, ingatan untuk mengambil ubat, kaedah penggunaan, cara isian semula dan mengesan tahap asli ubat.

Jika pengguna waswas untuk mencucuk sendiri, aplikasi akan memaparkan video kaedah penggunaan.

Manakala pesakit yang mengalami masalah tidur dinamakan apnea pula boleh mendapatkan Motio HW yang dihasilkan Kyomed and Neogia.

Ia memelihara, diagnos dan mengesan tidur apnea dengan mengumpul aktimetri, kadar degupan jantung, oximetri dan respitori.

Kemudian, maklumat akan dihantar melalui aplikasi dan data akan diproses bagi memahami profil tidur pesakit untuk memperbaikinya pada masa depan.

Jika anda perlukan gajet kesihatan kepala, mungkin Leti Relax peranti sesuai yang memberi ketenangan berdasarkan gelombang alfa dari otak.

Gelombang alfa diukur berdasarkan elektroensefalografi (EGG) ketika pengguna memakai Relax.

Sistem elektrod dalam Relax direka untuk mengukur tahap kesedaran dan rehat serta membantu pengguna lebih tenang.

Satu lagi teknologi perubatan dilihat pada EarlySense yang mempunyai sensor kesihatan mudah alih diletakkan di ruang tamu rumah.

Model yang dinamakan Live terbabit memantau kadar degupan jantung pengguna, tahap pernafasan, tekanan dan indikator tidur di kalangan isi rumah.

Seal Shield ElectroClave pula menjadi gajet mudah alih yang membunuh bakteria dan virus dalam rumah berdasarkan pencahayaan gemisid LED UV-C.

Berdasarkan teknologi ‘cloud’, ia mempunyai pengesan RFID dan teknologi cas pintar yang disambung ke portal pengurusan berdasarkan web mengesan lokasi dan penggunaan.

Pengurusan portal juga membolehkan pengguna untuk menetapkan sendiri peraturan dan notifikasi kesihatan dalam rumah.

Mungkin ada yang bertanyakan kepada IT@Metro, mungkinkah ada teknologi perubatan untuk bayi? Sudah pasti ada.

TempTraq misalnya mempunyai pelekat atau mungkin dikenali sebagai ‘koyok’ yang berupaya memantau suhu bayi sehingga 48 jam.

Ia akan disambung menggunakan bluetooth dan rekaannya tidak jauh berbeza dengan koyok biasa di rumah dan fleksibel.

Biasanya dilekatkan di bawah ketiak bayi, ibu bapa boleh mengesan suhu dengan aplikasi telefon pintar secara percuma.

Pengesan suhu akan menyimpan rekod dan menghantar bacaan suhu bayi ke aplikasi yang mengurangkan gangguan kepada bayi terutama apabila sedang tidur.

Setakat ini, pelekat ini hanyalah untuk kegunaan sekali guna dan perlu dibuang selepas wqaktu tertentu.

Untuk membacanya pula mudah. Pada pelakat itu sendiri terdapat indikator seperti warna hijau, jingga dan merah menunjukkan tahap suhu.

Setakat ini, ia hanya dijual di luar negara dengan harga kira-kira RM120.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 11:39 AM