Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi popular Dayang Nurfaizah terkejut dan terharu apabila album terbarunya berjudul Dayang Nurfaizah 'trending' di aplikasi muzik iTunes sejak mula dilancarkan pada 15 April lalu.

Album yang memuatkan tujuh lagu itu turut berada di kedudukan keenam bersama sembilan lagu antarabangsa lain seperti Coldplay, Shape Of You, Rockabye, Jay Chou dan Maroon 5.

"Alhamdulillah saya tak menyangka album ini mendapat sambutan baik. Mungkin disebabkan sudah enam tahun tak muncul dengan album baru membuatkan peminat tak sabar menantikan album ini.

"Saya juga berharap album ini terus menjadi pilihan peminat. Saya yakin setiap lagu yang ada dalam album ini menepati cita rasa peminat seperti single sebelumnya," katanya pada sidang media pelancaran album Dayang Nurfaizah di sini, hari ini.

Sejak mula dilancarkan album itu juga sudah terjual 2,000 unit dalam tempoh seminggu.

"Saya difahamkan album ini sudah tiga kali dicetak. Ia satu perkembangan yang bagus dan saya harap ia berterusan.

"Walaupun ketika ini pasaran album tempatan agak kurang memberangsangkan tapi saya percaya peminat masih ada yang membeli. Apatah lagi album ini didedikasikan buat mereka," katanya.

Bersempena pelancaran album itu juga, Dayang turut mengadakan mini persembahan pada malam ini yang dihadiri oleh peminat yang membeli tiket.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 7:41 PM