ANTARA babak menarik filem ini.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Nama Donnie Sibarani, 35, sinonim dengan peminat di Indonesia berikutan karier nyanyian yang dibina bersama Ada Band sejak 11 tahun lalu.

Ditambah, Donnie juga biras kepada bintang sinetron Asmirandah Zantman yang juga isteri kepada pelakon Jonas Rivanno.

Jonas abang kepada isteri Donnie iaitu Sonya Prischillia Wattimena.

Enggan menumpang populariti Asmirandah dan Jonas, vokalis Ada Band ini mengembangkan bakat seninya dalam lakonan pula.

Mulai semalam, filem Cinta Di Kota Raja lakonan Donnie arahan Bambang Drias menemui penonton di negara ini dengan kerjasama pengedaran Alternate Pictures Sdn Bhd.

Ketika sidang media filem Cinta Di Kota Raja baru-baru ini, Donnie berkata, pembabitannya dalam lakonan berlaku secara kebetulan.

"Saya tidak pernah merancang untuk berlakon dalam filem ini. Pada perbincangan awal tangggung-jawab saya adalah mencipta lagu tema bagi runut bunyi Cinta Di Kota Raja.

"Jadi, saya bersama Ada Band sekadar berganding bahu untuk menyelesaikan tugas kami menciptakan lagu sesuai untuk filem ini. Itu saja kata sepakat yang dicapai," katanya yang bakal bergelar bapa kerana Sonya kini hamil enam bulan.

Namun, barangkali melihatkan komitmen Donnie yang bersungguh-sungguh memberi kerjasama membuatkan Bambang terbuka hati untuk menawarkannya salah satu watak dalam filem berkenaan.

Melakonkan watak Doni, tawaran diberikan Bambang itu nyata bukan gurauan dan ia peluang keemasan buat Donnie mengembangkan bakat seni dimilikinya.

Enggan menolak rezeki yang sudah ada depan mata, Donnie berminat menceburi bidang lakonan untuk menimba pengalaman. Ditambah, dia memperoleh peluang bekerja dengan Bambang.

Bagaimanapun, filem Cinta Di Kota Raja yang diedarkan tayangannya di Malaysia dan Brunei itu sudah ditukar judul asalnya di Indonesia iaitu Erau Kota Cinta.

Selain Donnie, barisan pelakon lain yang membintangi filem bergenre drama romantik ini ialah Nadine Chandrawinata, Denny Sumargo, Jajang C Noer, Ray Sahetapy, Herrichan dan ramai lagi.

Sinopsis Cinta Di Kota Raja

Disiarkan selama satu jam 35 minit, filem ini mengisahkan Kirana (lakonan Nadine) seorang wartawan yang ditugaskan membuat liputan ke Festival Antarabangsa ERAU di Kutai Kartanegara.

Ketika bertugas untuk liputan itu, Kirana berkenalan dengan seorang pemuda tempatan, Reza (Denny) yang akhirnya berjaya membuatkan Kirana jatuh hati kepadanya.

Namun, sayangnya percintaan mereka mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk ibu Reza (Jajang C Neor). Bukan itu saja, kehadiran Doni (Donnie Ada Band) turut menjadikan keadaan bertambah rumit.

Bukan sekadar percintaan yang terhalang, apa yang pasti berlaku pergolakan cinta tiga segi hingga menimbulkan fitnah dalam kalangan masyarakat setempat.

Mampukah cinta Kirana dan Reza bersatu dalam ikatan perkahwinan? Sejauh mana kemunculan Doni dapat menggugat keikhlasan cinta dijalin?

Bagi penggemar filem cinta, drama dan romantik pastinya takkan melepaskan peluang untuk mengetahui pengakhiran kisah cinta tiga segi di antara Kirana, Reza dan Roni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:00 AM