SALWA Abdul Rahman tiada masalah beri sokongan kepada artis baru.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Menganggapnya satu penghargaan, penyanyi bersuara manja Salwa Abdul Rahman tidak teragak-agak menerima pelawaan pendatang baru, Faizal Zain untuk berduet dalam dua lagu berjudul Murakkab Rinduan dan Bulan & Angin.

Baginya tiada istilah menumpang kerana sebagai artis 'senior' dia perlu menyokong Faizal yang masih mencari tapak dalam nyanyian.

Apatah lagi dia pernah melalui situasi serupa sebelum diterima sepenuhnya dalam bidang seni.

"Saya masih aktif menyanyi dan mengadakan persembahan di seluruh negara. Malah saya ada perancangan nak hasilkan single baru," katanya.

Salwa berkata, lagu Murakkab Rinduan adalah lagu baru yang dicipta oleh Yuzz dan lirik tulisan Faizal sendiri, manakala lagu Bulan & Angin sebuah lagu lama yang diberi nafas baru dan lebih rancak.

"Saya gembira kerana mendapat kepercayaan Faizal untuk berduet dengannya. Jangan terkejut kerana sepanjang pembabitan dalam bidang seni, ini kali kedua saya berduet dengan artis lain dalam album.

"Sebelum ini saya banyak berduet dengan artis seangkatan dalam persembahan dan bukannya untuk album. Kali pertama saya berduet ialah dengan Othman Hamzah pada pertengahan 1980-an.

"Yang menariknya rakaman dibuat secara berasingan dan kami hanya berjumpa ketika rakaman program TV. Sekarang saya berduet dengan Faizal pula dengan teknologi yang lebih canggih.

"Dulu saya diperkenalkan ke dalam industri muzik oleh Jaafar Onn. Saya pernah melalui apa yang dilalui Faizal sekarang. Jadi saya anggap ini satu sedekah juga untuk Faizal.

"Setiap kali ada persembahan di sekitar Kuala Lumpur, saya akan bawa dia sekali untuk diperkenalkan kepada peminat. Diharapkan menerusi gandingan ini, secara tak langsung mereka dapat terima kehadiran Faizal dalam bidang seni," katanya.

Sementara itu, Faizal yang mempunyai syarikat rekaan dalaman, Zaldeco di Kota Damansara meminati bidang nyanyian sejak kecil.

"Selepas berjaya dalam perniagaan, barulah saya beranikan diri menyanyi dan berduet dengan Rohana Jalil menerusi lagu Nuansa Aidilfitri. Kebetulan saya pun ada program di TV Astro menggunakan judul sama.

"Berbekalkan respons bagus daripada peminat, saya terus keluarkan single seterusnya dan sekarang berduet dengan Salwa pula. Lagu Murakkab Rinduan berkonsep 'world music' dan saya memang meminati muzik genre ini.

"Sekarang saya sedang siapkan album penuh yang akan dikeluarkan pada Julai nanti. Album ini memuatkan 11 lagu ciptaan Yuzz dan liriknya oleh saya sendiri. Yuzz pernah menganggotai Aku Band satu ketika dulu," katanya.

Faizal juga beruntung kerana perniagaan dikendalikan isterinya, sekali gus membolehkan dia memberi tumpuan terhadap album.

"Saya turut menghasilkan tiga muzik video iaitu Tiada Yang Kekal, Ayah & Ibu dan Tenggelam timbul yang turut menampilkan Jaafar Onn dan Yusz yang boleh ditonton menerusi YouTube.

Salwa sudah ada 21 album

Salwa juga merancang untuk merakamkan album baru bagi memberitahu dia masih aktif dalam bidang nyanyian.

"Saya lihat perlunya buat album baru untuk menjelaskan kepada peminat yang saya masih aktif menyanyi.

"Saya sedang memikirkan untuk buat konsep dangdut moden dan komposernya sedang dikenal pasti. Kalau boleh biarlah komposer itu boleh menghasilkan lagu-lagu yang sesuai dengan keadaan sekarang," katanya yang sudah memiliki 21 album.

Selain itu, Salwa juga merancang menampilkan anak saudaranya iaitu pelakon dan penyanyi Zarina Zainoordin dan Aman Nasim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:00 AM