LI Lian (kiri) mahu fokus kepada pelajaran.

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara Yang Li Lian mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas alasan mahu melanjutkan pelajaran di kolej swasta tempatan.

Li Lian, 22, menyerahkan surat meninggalkan BAM di ibu pejabat badan induk berkenaan di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin.

Menurutnya, tidak ada alasan lain dengan keputusan dibuatnya itu kecuali mahu menyambung pelajaran di peringkat A-level untuk tempoh satu atau dua tahun.

“Selepas itu saya akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Saya rasa sumbangan kepada negara hanya setakat ini saja selepas tiga tahun bersama BAM,” katanya yang menamatkan karier di ranking ke-57 dunia.

Jelasnya, dia mungkin melanjutkan pelajaran ke luar negara selepas menamatkan A-level, tetapi masih belum fikir mengenai kariernya yang lain pada masa akan datang.

“Saya rasa sudah cukup perjuangan dalam sukan ini selepas menghabiskan banyak tahun sebagai pemain badminton. Saya mahu menjelajah selepas memikirkan tidak boleh mencapai tahap seorang pemain bertaraf juara dunia.

“Saya juga seakan-akan letih dan tidak ada motivasi. Saya hanya fikir mengenai diri sendiri. Bangun awal menyertai latihan memang sesuatu yang memenatkan dan pada masa sama saya sedih akan meninggalkan ramai kawan,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan jurulatihnya Wong Tat Meng, Li Lian berkata, pada mulanya dia dinasihatkan untuk kekal dan menimbang hasrat menggantung raket.

“Selepas saya terangkan kepadanya, baru beliau faham. Saya seolah-olah tidak ada masa depan dan gagal menunjukkan peningkatan dalam sukan ini.

“Keluarga saya memberi sokongan atas apa jua keputusan, prestasi saya memang baik di peringkat domestik, tapi tidak di arena antarabangsa,” kata pemain berkenaan yang sudah tiga tahun bersama BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 7:06 AM