ROKOK seludup pelbagai jenama berjaya dirampas.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Asli, Gelang Patah di sini, dipercayai dijadikan stor transit menyimpan pelbagai rokok seludup sebelum dijual di pasaran tempatan diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, kelmarin.

Dalam serbuan jam 4.15 petang, polis menjumpai 1,710 kotak rokok dianggar bernilai RM15,829.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya menjalankan serbuan itu selepas menerima maklumat orang awam serta risikan selama dua hari.

“Rumah itu dipercayai dijadikan stor transit sebelum rokok berkenaan dijual di pasaran tempatan.

“Bagaimanapun, seorang lelaki melepaskan diri melalui pintu belakang selepas menyedari kehadiran polis,” katanya.

Beliau berkata, semua barang rampasan itu dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua Tampoi di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang yang belum mendapat kelulusan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:39 AM