RUSLI (dua dari kanan) menunjukkan rokok yang dirampas.
Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Menyewa premis untuk dijadikan stor penyimpanan rokok seludup. Itu taktik yang digunakan sindiket penyeludupan bagi menyembunyikan rokok seludup pelbagai jenama sebelum diedarkan kepada pengedar sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, taktik mereka terbongkar selepas dua premis di Kampung Paya Senang dekat Jalan Telipot diserbu Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 11.30 pagi itu, UPP menemui 40,000 karton rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM5 juta yang memenuhi segenap ruang di dalam dua premis itu untuk diedarkan di pasaran negeri ini.

Anggota UPP turut merampas sebuah Proton Wira Aeroback yang dipercayai digunakan anggota sindiket untuk menghantar bekalan rokok namun tiada sebarang tangkapan dibuat berikutan tiada orang di lokasi kejadian.

Komander UPP Kelantan Rusli Karim berkata, semua bekalan rokok seludup yang disimpan di stor terbabit dibawa masuk dari pantai barat melalui Lebuhraya Timur Barat, Jalan Gua Musang-Kuala Krai serta Lebuhraya Pantai Timur.

Katanya, modus operandi penyeludup adalah membawanya ke negeri ini menggunakan lori atau van sebelum menyimpannya di stor seperti itu.

“Biasanya dalam pengedaran rokok seludup mereka mempunyai rangkaian yang terancang rapi. Pembekal biasanya akan mengambil rokok di stor dan membahagikannya kepada pengedar untuk kawasan tertentu.

“Maknanya dalam kegiatan ini setiap kawasan mempunyai ‘wakil’ bagi mengedar rokok seludup dan kegiatan itu dijalankan dengan begitu rapi,” katanya yang mengetuai serbuan ke dua stor berkenaan semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, anggota UPP terpaksa memecahkan pintu hadapan premis bagi membuat pemeriksaan kerana dipercayai dijadikan sebagai stor simpanan barangan seludup.

“Sebaik pintu premis berjaya dibuka hampir keseluruhan ruang di dalam premis dipenuhi kotak rokok daripada pelbagai jenama seperti Gudang Garam, TEX, D&J, Canyon, John dan Nusantara,” katanya.

Menurutnya, semua rokok itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya

“Dalam kes ini kami yakin ada beberapa lagi stor seperti ini di Kelantan dan UPP akan sentiasa melakukan risikan untuk membanterasnya,” katanya.

Mengenai dakwaan pembabitan golongan berpengaruh dalam kegiatan itu, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:02 AM