Aidil Zafuan (kanan) bersama Rushdan (dua dari kanan) serta kembarnya, Mohamad Zaquan Adha pada perbicaraan kes tuntutan mutaah oleh bekas isterinya, Rita Rudaini.
Oleh Ikram Ismail
ikram.ismail@hmetro.com.my

Shah Alam: Pemain pertahanan kelab Johor Darul Takzim (JDT), Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 28, memberikan alasan kurang berkemampuan membayar tuntutan mutaah RM300,000 oleh bekas isterinya, Rita Rudaini, 39, disebabkan dia menanggung perbelanjaan besar untuk perkahwinan keduanya.

Mohamad Aidil berkata demikian ketika disoal peguam syarie mewakili Rita, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain dalam perbicaraan kes tuntutan yang dikemukakan Rita di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

“Walaupun saya tidak mengemukakan penyata pendapatan serta perbelanjaan, saya memang menanggung banyak perbelanjaan untuk keluarga baru di samping perbelanjaan lain seperti insurans dua anak bersama Rita serta hutang peribadi.

“Oleh itu, saya tidak setuju dengan tuntutan mutaah itu disebabkan plaintif tidak layak menerima di atas kegagalan dia menjalankan tanggungjawab sebagai isteri ketika perkahwinan dan saya memang tidak mampu,” katanya yang diwakili peguam syarie Rushdan Sujak Rafie di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man.

Sementara itu, saksi kepada defendan, Mohamad Zaquan Adha Abd Razak, 28, hampir bertikam lidah dengan Mohd Zaidi ketika disoal selepas tidak faham soalan yang diajukan.

Mohamad Zaquan enggan menyatakan jumlah pendapatan bulanannya ketika disoal Mohd Zaidi dan mengakui dia tidak pernah berkomunikasi dengan Rita sepanjang tempoh perkahwinan Mohamad Aidil bersama Rita.

“Apa yang berlaku pada 2012 adalah defendan sering menumpang basuh baju dan memasak di kediaman saya yang disediakan majikan di USJ One Avenue di Subang Jaya,” katanya.

Mawardi menetapkan 25 Mei ini untuk sambungan perbicaraan tuntutan mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Saksi kepada Rita boleh tampil untuk memberi keterangan selepas tidak hadir pada hari ini (semalam) akibat kekangan tugas,” katanya.

Mohamad Aidil Zafuan bercerai dengan Rita di Mahkamah Rendah Syariah Seremban pada September 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 9:49 AM