DR Mohd Fauzi (tengah) bersama Ermelia (duduk, kiri) dan graduan cemerlang lain pada majlis konvokesyen UPM, semalam.
Oleh Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my

Serdang: Graduan Bacelor Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Ermelia Rohayu Ramlan, 24, meraih empat anugerah sempena majlis konvokesyen kali ke-39 universiti itu.

Antara hadiah diperoleh Ermelia, Hadiah Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Pelajaran Diraja (Bumiputera), Pingat Emas Alumni dan Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr Rashdan Baba.

Ermelia berkata, kunci utama kejayaannya sentiasa mengutamakan ibu dan bapa dalam setiap keputusan serta tindakan.

“Setiap hari saya akan menghubungi emak dan ayah untuk memberitahu aktiviti saya di kampus kerana doa dan restu mereka sangat penting untuk berjaya.

“Selain itu, menggembirakan emak dan ayah juga tanggungjawab saya dengan membuktikan kejayaan saya dalam setiap perkara yang saya ceburi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Majlis Konvokesyen Ke-39 UPM di Bangunan Canselori Putra, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UPM Prof Dr Ing Renuganth Varatharajoo.

Ermelia berkata, kejayaan dirangkulnya sangat tidak disangka kerana perlu bersaing dengan ramai graduan lain.

“Ketika menerima panggilan daripada bahagian akademik universiti, saya terkejut dan tidak menyangka dengan hadiah yang saya peroleh.

“Sepanjang di kampus, saya seronok bergiat aktif dengan pelbagai aktiviti kampus, kolej serta fakulti kerana yakin ia dapat membantu saya mempelajari banyak perkara baru dan bukannya suatu halangan untuk berjaya,” katanya yang kini bekerja sebagai Pelatih Pembantu Pengurus di sebuah restoran.

Seramai 7,055 graduan pelbagai program pengajian menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 3 November ini di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM.

Pada majlis itu, UPM menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Penasihat Sains di Jabatan Perdana Menteri Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perladangan kepada Pengarah United Malacca Bhd Tan Siok Choo serta Ijazah kehormat Doktor Kejuruteraan kepada Pemilik dan Pengasas Webstar Aviation Services Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim pada sesi pertama 31 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 10:17 AM