AHMAD Zahid menerima Darjah Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (SPSN). FOTO L Manimaran
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my


Kuala Kangsar : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengetuai 39 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Beliau menerima Darjah Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (SPSN) membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Mendiang Kevin Anthony Morais dan lima tokoh pula antara enam penerima darjah kebesaran secara anumerta (anugerah yang diberikan kepada seseorang yang meninggal dunia) bagi sambutan ulang tahun keputeraan pertama selepas baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-35 pada Mei lalu.

Dua tokoh kemerdekaan menerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri ialah pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Sir Onn Jaafar serta Menteri Besar Perak pertama, Allahyarham Datuk Panglima Bujit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz.

Pemimpin gerakan nasionalis dan pemikir Islam sebelum merdeka, Allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmy serta tokoh gerakan pelajar dan pendidikan, Allahyarham Aminuddin Baki antara lima penerima Darjah Seri Mahkota Perak (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 11:49 AM