Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Menjual rumah boleh menjadi perkara yang mudah dan ada ketikanya ia menjadi perkara yang sukar dilaksanakan. Ini kerana keadaan rumah dan lokasi kediaman itu menjadi faktor utama yang menentukan sama ada ia mudah atau sukar dijual.

Selain keadaan fizikal rumah dan lokasi, harga jualan juga memainkan peranan penting kerana jika ia terlalu mahal, pembeli mungkin teragak-agak untuk meneruskan pembelian.

Namun, jika harganya terlalu murah pula, ia mungkin menyebabkan pembeli berasa ragu-ragu dan bimbang risiko ditipu.

Ada pemilik rumah yang memilih menjual sendiri dan ada yang menggunakan perkhidmatan perunding hartanah profesional untuk urusan mempromosi serta menjual hartanah.

Perkara asas dalam penjualan hartanah sama ada sendiri atau melalui ejen hartanah, penjual perlu merancang strategi pemasaran.

Penjual perlu tetapkan seberapa segera perlu untuk mendapatkan pembeli dan menandatangani perjanjian jual beli serta apakah medium untuk mengiklankan rumah agar ia sampai kepada prospek pembeli.

Menjual rumah bukan sekadar meletakkan iklan di portal pengiklanan hartanah. Dengan lambakan hartanah untuk dijual di pasaran sekunder, sebaiknya anda terus mengiklankan kepada jaringan prospek pembeli yang sememangnya mencari hartanah untuk dibeli sama ada untuk pelaburan atau dihuni sendiri.

Bagi seorang pemilik rumah, agak sukar untuk mempunyai jaringan sebegini kerana kerja seharian anda tidak fokus kepada jual dan beli hartanah.

Namun, bagi seorang perunding hartanah yang mahir dan berpengalaman, mereka mempunyai senarai pelanggan hartanah berpotensi untuk membeli hartanah ditawarkan.

Perunding hartanah seperti itu mampu menjual dengan cepat kerana mereka mempunyai jaringan pelanggan yang besar.

Namun, perlu pastikan mereka berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah (LPPEH) bagi mengelakkan penipuan.

Kebanyakan pelabur hartanah menjadikan perunding hartanah sebagai tempat mereka mencari hartanah untuk dibeli, jadi anda boleh manfaatkan pengalaman dan jaringan yang mereka miliki untuk menjual hartanah anda.

Selain itu, pemilik rumah yang melantik perunding hartanah tidak perlu tertekan dengan kehendak pembeli memandangkan pembeli akan meminta harga rumah jauh lebih rendah daripada nilai semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 8:06 AM