SAPURA (kanan) menjadi tulang belakang bagi Projek Jaya Diri.
AHLI Biro Wanita PKOKM menyiapkan biskut raya tempahan pelanggan.
Nor Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Mungkin ramai tidak menyedari kewujudan Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) berbanding pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang lebih menonjol di negara ini.

Beroperasi di Jalan Sarikei, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur, pertubuhan itu ditubuhkan pada 1985, menggunakan nama asalnya Kelab Sukan Orang Kerdil selepas diundang mengutip bola bagi acara boling padang disertai artis veteran.

Tidak sekadar tujuan penubuhannya menjadi ‘pembela’ dan ejen perubahan kepada 986 ahlinya dari seluruh negara, ia juga berperanan membantu memperkasakan golongan istimewa terbabit supaya mendapat hak kehidupan yang sama seperti insan normal lain.

Sikap merendah diri dan rasa malu yang menebal disebabkan kekurangan fizikal mereka menjadi penyebab insan kerdil itu lebih selesa memilih untuk memencilkan diri daripada bergaul dengan masyarakat umum.

Presidennya Jasmi Shafie berkata, rata-rata golongan kerdil itu mengalami anjakan paradigma terhadap diri mereka selepas menjadi ahli pertubuhan berkenaan dan bukanlah pemalu seperti sebelum ini.

“Kami amat berterima kasih kepada pengasas pertubuhan ini (PKOKM) iaitu pelakon Kamal Pendek atau nama sebenarnya Nurul Kamal Mohamad Zainuddin dan beberapa pelakon kerdil lain termasuk Allahyarham Ibrahim Pendek serta mendiang Param kerana menubuhkan PKOKM.

“Jika tidak, pasti sehingga ke hari ini orang kerdil tidak keluar daripada kepompong mereka, tiada kemajuan dicapai.

“Bagaimanapun, mereka (orang kerdil) perlu mendapatkan pengesahan pakar perubatan bagi memperakui sebagai orang kerdil untuk menjadi ahli pertubuhan ini dan pada masa sama diiktiraf sebagai sebagai orang kurang upaya (OKU),”katanya.

Beliau yang sudah memegang jawatan itu selama 32 tahun berkata, pada 1997 nama Kelab Sukan Orang Kerdil ditukarkan kepada PKOKM sehingga kini.

Katanya, hari ini pertubuhan itu tidak ketinggalan menjadi antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi pembabitan beberapa ahlinya dalam bidang perniagaan.

“Seorang ahli kita kini bergelar seorang usahawan trak makanan berjaya dengan menjual kebab di Shah Alam.

“Dia ialah Ikhsan Sirat, 53, yang mengusahakan perniagaan itu lebih 30 tahun lalu dan membanggakan apabila meraih pendapatan lima angka pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan (MAHA) 2016 yang lalu,” katanya.

Jasmi berkata, Ikhsan juga menjadi ikon usahawan orang kerdil berjaya dan ahli pertubuhan menjadikan beliau (Ikhsan) sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan yang mereka ceburi.

“Ada beberapa lagi cabang perniagaan dijalankan ahli PKOKM seperti mengusahakan kedai bunga, perabot, sewa kanopi, banting dan ternakan kambing.

“Semua mereka ini mendapat bantuan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK),”katanya.

Jelasnya, terbaru lima ahli wanita menjalankan Projek Jaya Diri dengan membuat enam jenis biskut raya sepanjang Ramadan ini seperti tart nanas, snow almond, bubble rice, suji,mazola dan dahlia.

“Projek ini baru dimulakan kira-kira dua minggu sebelum Ramadan dan kini menerima banyak tempahan daripada ahli persatuan sendiri dan orang luar.

“Ahli wanita sudah tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan dan dijangka meningkat menjelang Syawal,”katanya.

Meskipun begitu, beliau berharap ahli pertubuhan berkenaan akan lebih mudah untuk mendapatkan modal awalan bagi memulakan perniagaan dan itu masalah dihadapi PKOKM pada masa ini.

Sementara itu Ketua Biro Wanita PKOKM Sapura Ramdhan, 45, berkata, projek itu bertujuan membantu ahlinya yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah untuk mendapatkan pendapatan.

“Dengan cara ini bukan saja dapat membantu mereka meringankan beban keluarga tetapi juga melakukan aktiviti berfaedah.

“Sebelum ini peserta diberikan latihan membuat biskut raya sehari daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS),”katanya.

Katanya, disebabkan sambutan di luar jangkaan yang mereka terima, dia bercadang menyewa sebuah kedai berdekatan sebagai persediaan mengembangkan perniagaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 3:49 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »