AZIZAH.
AZIZAH menekat benang emas di kediamannya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak.
SULAMAN tekat benang emas lebih kemas berbanding tekat mesin dan tekat komputer.
SULAMAN tekat benang emas yang dihasilkan Azizah.
LABU sayong dimasukkan ke dalam serkam padi untuk menghitamkannya.
BEKAS penyimpanan air minuman, labu sayong memberikan rasa kesejukan yang asli.
KRAF porselin yang dipamerkan dalam Jelajah Kraf anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Mukim Sayong, Kuala Kangsar, Perak.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Usianya sudah menjangkau 82 tahun, bukan saja memiliki kesihatan dan penglihatan yang baik bahkan masih mampu menyulam tekat benang emas atau sulaman emas tanpa memakai cermin mata.

Lebih mengagumkan ialah keindahan hasil kerja seni tekat warga emas itu yang begitu halus dan pastinya memukau sesiapa saja melihatnya.

Azizah Mohd Yusof turut digelar tokoh tekat Malaysia kerana memiliki kepakaran menyulam seni warisan keluarga turun-temurun sejak 300 tahun lalu dan kini berkembang menjadi perusahaan terkenal di Kuala Kangsar, Perak.

Penulis yang menyertai pakej satu hari program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Jelajah Kraf anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Mukim Sayong, Kuala Kangsar, Perak berpeluang melihat sendiri Azizah menekat secara lebih dekat, baru-baru ini.

Sepanjang program berlangsung, penulis juga teruja kerana bukan saja didedahkan proses menekat tetapi juga membuat tembikar menggunakan tanah liat sehingga kepada proses menghitamkan labu sayong yang dimasukkan ke dalam serkam padi.

Itu pengalaman baharu buat penulis yang berasal dari Johor kerana sebelum ini hanya mengetahui dan melihat seni tekat serta tembikar menerusi media elektronik.

Menekat ialah kerja menyulam benang emas ke atas kain dasar jenis baldu yang dahulu kegunaannya pada pakaian dan kelengkapan keluarga raja atau istana.

Berkongsi rahsia kesihatannya, Azizah berkata, amalan memakan jamu, ulaman dan membaca al-Quran sejak remaja sehingga kini menjadikan dia kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.

Katanya, kelebihan itu umpama ‘bonus’ kepada dirinya apabila masih boleh menyulam tekat benang emas dengan baik menggunakan tangan sepenuhnya.

“Setiap hari rutin menekat bermula jam 9 pagi dan berhenti seketika pada waktu tengah hari dan sambung semula selepas solat Zuhur sehingga petang.

“Saya sudah melakukan tugas ini sejak berusia 12 tahun dengan mempelajarinya daripada arwah nenek yang sememangnya mahir menekat benang emas,” katanya kepada Nuansa.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, kini bakat terbabit diwarisi oleh tiga anak dan cucunya serta berharap warisan budaya berkenaan akan diteruskan oleh generasinya pada masa akan datang.

Azizah kini sedang menyiapkan tempahan pelamin tekat benang emas dari Korea Selatan.

Katanya lagi, menyulam tekat memerlukan kesabaran tinggi dan ia tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana kekemasan seni amat ditititberatkan demi kepuasan pelanggan.

“Sebab itu harga bagi tekat benang emas lebih mahal berbanding jenis tekat lain seperti tekat mesin dan komputer.

“Bagi sulaman tekat benang emas bersaiz kusyen dijual dengan harga serendah RM800 dan harga lebih tinggi bagai hasil sulaman bersaiz besar,” katanya.

Sementara penguasaha tembikar, Harun Mat Jidin, 53, berkata, dia generasi keempat mewarisi seni kraf tembikar milik keluarganya yang diceburinya sejak 30 tahun lalu.

“Perusahaan ini sudah menjangkau 200 tahun dan alhamdulillah ia terus berkembang dan anak bongsu saya menunjukkan minat mewarisinya.

“Dahulu arwah datuk hanya membuat pasu tembikar, tetapi saya mempelbagaikan perusahaan ini dengan menghasilkan hiasan serta labu sayong.

“Saya juga membuat labu sayong paip yang digunakan sebagai bekas simpanan air minuman dan memenangi Pertandingan SDSI pada 2016 bagi kategori seramik,” katanya.

Katanya, kerja membuat tembikar umpama terapi kepada dirinya kerana memberi ketenangan dan kegembiraan setiap kali dapat menyiapkannya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Zuraida Mokhtar berkata, projek SDSI Jelajah Kraf adalah kesinambungan daripada program Kraf Kampungku Seramik, Mukim Sayong yang dilancarkan pada 2016 di Mukim Sayong, Kuala Kangsar, Perak.

“Seramai 80 peserta terdiri daripada persatuan pelancongan, ejen pelancongan dan wakil media menyertai Jelajah Kraf SDSI di beberapa lokasi sekitar Kuala Kangsar.

“Program ini tidak hanya memberi manfaat kepada penduduk setempat tetapi juga industri lain seperti inap desa dan industri hiliran,” katanya.

Jelasnya, Kraftangan Malaysia yakin daerah Kuala Kangsar berpotensi dimajukan menjadi pusat perusahaan kraf terkemuka dan destinasi pelancongan utama di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 12:49 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »