MODEL bandar raya Kuala Lumpur dengan skala 1:1500 yang cukup mengujakan.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Ingin meneroka keseluruhan 360 darjah Kuala Lumpur yang kini yang semakin pesat membangun?

Kemudian kembali ke masa lampau sekitar 160 tahun dahulu saat Kuala Lumpur mula dibuka pada 1857 atau ke masa hadapan dengan pembangunan bandar raya ini yang di luar jangkaan?

Jika itu yang anda inginkan, Kuala Lumpur City Gallery adalah destinasi wajib untuk dikunjungi.

Terletak di Padang Merdeka, Kuala Lumpur City Gallery adalah pusat sehenti untuk mereka yang ingin meneroka 360 darjah Kuala Lumpur.


ANTARA koleksi menarik yang dipamerkan.

Pemenang Anugerah Emas di Kuala Lumpur Mayor’s Tourism Award 2017 ini juga akan membawa pengunjung mengenali lebih dekat ibu kota dari masa lampau, kini dan masa depan.

Ditubuhkan atas dasar cintakan budaya dan komitmen ‘menghidupkan warisan’, Kuala Lumpur City Gallery membuka mata setiap pengunjung untuk melihat sendiri pembangunan sekali gus membuatkan pengunjung terutama warga Kuala Lumpur akan lebih menghargai kota metropolitan yang cukup gah di mata dunia ini.

Menjadikan bangunan bersejarah yang dibina pada 1898 dengan inspirasi rekaan Moghul-India sebagai ‘rumah’, ‘Old KL’ menerusi kapsul masa membawa anda kembali ke masa lampau.


KERATAN akhbar dan gambar lama Kuala Lumpur yang menarik untuk dilihat.

Di sini, pengunjung boleh melihat Kuala Lumpur pada zaman silam menerusi cetakan, gambar dan model seni bina mini tiga dimensi (3D).

Selesai melalui kapsul masa, tingkat dua bangunan yang berusia 119 tahun ini menanti dengan sesuatu yang cukup menakjubkan iaitu ‘Kuala Lumpur City Model’.

Menerusi tayangan video ‘The Spectacular City Model Show’ selama lapan minit, pengunjung akan diberikan pelbagai maklumat mengenai Malaysia selain berpeluang melihat keseluruhan bandar raya Kuala Lumpur lengkap dengan setiap bangunan, rumah dan apa juga pembangunan yang ada menerusi model yang cukup unik.


VIDEO menarik dan lampu berwarna-warni saat penerangan mengenai Kuala Lumpur menggamit perhatian pengunjung.

Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang melihat pembangunan masa kini dan akan datang di Kuala Lumpur terutama bangunan pencakar langit. Setiap model bangunan yang diperlihatkan ini adalah berskala 1:1500 daripada saiz asal setiap bangunan.

Menambahkan keterujaan pengunjung dan tarikan terbaru di Kuala Lumpur City Gallery, KL Reflection atau Fefleksi KL, berswafoto dengan sembilan pameran bandar menakjubkan berdasarkan formasi, garisan dan bentuk yang diilhamkan oleh pengasas ARCH Andrew Lee meninggalkan kenangan terindah.

Kembali ke tingkat bawah bangunan, Model Diorama Dataran Merdeka 3D lama yang dibuat menggunakan kayu memperlihatkan keadaan sekitar kawasan itu satu ketika dahulu. Apa yang pasti, ia sangat berbeza dengan sekarang.


ANTARA koleksi menarik yang dipamer di Fefleksi KL berdasarkan formasi, garisan dan bentuk yang menakjubkan.

Pameran bermusim dan pameran batik kekal yang dibuat di luar bangunan ini juga antara yang menarik untuk dilihat.

Di ruangan ‘The Making of Arch’, pengunjung dapat melihat sendiri kepakaran setiap pekerja berpengalaman menghasilkan cenderamata yang diperbuat daripada kayu.

Menambahkan keseronokan, peluang menghasilkan sendiri cenderahati yang akan dibawa pulang di bengkel ARCH D-I-Y pasti membuatkan pengunjung pulang dengan senyuman.

Sebelum pulang, jangan lupa singgah di kedai barangan cenderamata di ARCH Kuala Lumpur Gift Shop dan menikmati makanan tradisional Malaysia yang disediakan di ARCH Cafe sebagai pelengkap kunjungan.

Menariknya, semua makanan yang disajikan di ARCH Cafe disediakan menggunakan resipi buatan sendiri dalam suasana kafe yang menyenangkan dengan perabot lama bagai mengimbau kenangan lama.

Antara yang ‘mesti’ dicuba adalah lempeng dan kek durian berbentuk buah durian yang sememangnya kaya dengan isi durian Musang King.


HIDANGAN menarik lempeng dan kek durian yang mesti dirasa di ARCH Cafe.

Muzium ini dibuka setiap hari bermula dari jam 9 pagi hingga 6.30 petang. RM10 dikenakan kepada setiap pengunjung. Bagaimanapun, di akhir lawatan, pengunjung boleh menebus kembali RM5 yang boleh digunakan di kedai cenderamata atau ARCH Cafe.

Untuk keterangan lanjut, layari laman sesawang www.klcitygallery.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 12:22 PM
Teruskan ke laman Harian Metro »