PENGUNJUNG melawat gerai pameran Shahfri di Festival Warisan Kajang.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Bergelar pengumpul barangan antik bukan saja memberi pendapatan sampingan kepada lelaki ini, tapi turut berpeluang memiliki barangan yang sukar ditemui.

Baginya ia satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Malah memiliki barangan yang jarang ditemui umpama satu kejayaan buat golongan ini lebih-lebih lagi jika barang antik itu berusia lebih 500 tahun.

Pastinya koleksi itu mempunyai sejarah tersendiri, sekali gus menjadikan barangan terbabit bernilai tinggi.

Pada masa sama menjadi rebutan dalam kalangan mereka yang obses dengan barangan antik.

Shahfri Sahabudin, 52, yang sudah 40 tahun terbabit dalam bidang itu dan kini memiliki lebih 4,000 jenis barangan antik yang dikumpulnya sendiri atau hasil pemberian rakan.

Shahfri berkata, antara koleksi barangan antik paling unik dan istimewa dimilikinya ialah pedang timbul laut yang dipercayai berusia 504 tahun dan digunakan pada zaman Portugis di Tanah Melayu.


SHAHFRI menunjukkan pedang timbul laut berusia 504 tahun miliknya.

Katanya, pedang itu pemberian seorang kenalannya 15 tahun lalu. Permukaan pedang berkenaan sudah berkarat dan dipenuhi batu karang.

“Kemungkinan pedang ini sudah terlalu lama berada di dasar laut menyebabkan permukaannya dipenuhi batu karang.

“Saya ikat pedang ini dengan kain bagi mengelakkan batu karang itu terus tanggal,” katanya ketika ditemui pada Festival Warisan Kajang di Jalan Mendaling, Kajang, baru-baru ini.

Menurutnya, satu lagi barang unik dimilikinya ialah belut laut atau ikan elektrik yang sudah diawet.

“Ikan ini juga spesies yang jarang ditemui kerana tinggal di dasar laut.

“Spesies ikan ini hanya timbul disebabkan bencana alam seperti tsunami.

“Ia ditemui selepas kejadian tsunami di Acheh, Indonesia pada 2004 ,” katanya.


SHAHFRI menunjukkan ikan elektrik diawet yang timbul akibat kejadian tsunami di Aceh, Indonesia.

Menurut Shahfri, sebelum ini dia mempunyai dua koleksi ikan elektrik, tapi seekor sudah dijual sementara seekor lagi masih dalam simpanannya.

Shahfri berkata, dia tidak bercadang menjual parang timbul laut dan seekor lagi ikan elektrik itu meskipun ada pihak menawarkan harga tinggi.


SEBAHAGIAN koleksi barangan antik milik Shahfri

Menurutnya, semua koleksi barangan antik itu disimpan di rumahnya dan sebahagiannya banyak dipamerkan dalam mana-mana pameran sekitar Kajang.

Disebabkan terlalu obses dengan barangan antik, ramai menggelarkan dirinya sebagai Abang Antik dan gelaran itu sudah sebati dengan dirinya.

“Ke mana-mana saja saya pergi, orang akan panggil saya Abang Antik dan saya selesa dengan gelaran ini,” katanya dan menambah hobinya itu mendapat sokongan isterinya, Norlida Amirudin.


ANTARA koleksi barangan antik Shahfri yang dipamerkan di Festival Warisan Kajang di Jalan Mendaling, Kajang, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 11:00 AM