PEMANDANGAN menakjubkan pergunungan yang diselaputi salji.
Husain Jahit
husain@hmetro.com.my

Zermatt adalah satu daripada bandar pelancongan utama di Switzerland dan terletak di bahagian selatan yang bersempadan dengan Itali.

Ketika musim dingin, salji yang turun seolah-olah kapas putih yang menyaluti keseluruhan daratan di destinasi pelancongan empat musim itu.

Keunikan itulah yang menjadi antara tarikan pelancong tempatan dan segenap pelosok dunia.

Penulis yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini berasa sangat teruja dan agak terkejut sebaik tiba dengan tren Glacier Express kerana rupa-rupanya bandar ini bebas kenderaan yang menggunakan bahan api.

Yang ada cuma kenderaan elektrik kecil dan besar menghiasi jalan rayanya.

Terasa begitu nyaman menghirup udara segar pergunungan, malah bebas daripada asap kenderaan. Menurut penduduk tempatan, hanya polis dan doktor dibenarkan menggunakan kenderaan menggunakan bahan api.

Musim dingin sentiasa dinantikan pelancong yang datang untuk bermain ski bersama rakan dan keluarga, namun ramai juga yang ke sini hanya untuk bersantai semata-mata sambil menikmati keindahan kawasan pergunungan memutih.


ZERMATT Oldtown yang menyediakan pelbagai kemudahan membeli-belah dan hidangan.

Ketibaan penulis di bandar ini disambut seorang pemandu pelancong dari Zermatt Tourism yang menunggu di stesen. Hanya bagasi dihantar ke hotel, sedangkan kami dibawa ke satu lagi terminal tren yang katanya untuk terus ke kawasan pergunungan.

Perasaan begitu teruja walaupun badan masih terasa penat dek tempoh perjalanan yang panjang. Haluan kami ialah ke Gonnergrat iaitu kawasan pelancongan pergunungan pada ketinggian 3,089 meter dari paras laut (mdpl).

Tren merentasi pergunungan memutih menghidangkan pemandangan sangat indah yang tidak terucap dengan kata-kata. Kamera telefon bimbit sentiasa aktif untuk merakam setiap keindahan yang dirasakan tiada penghujungnya.

Kelihatan juga beberapa laluan kereta kabel yang menjadi pengangkutan utama di pergunungan ini. Ia adalah kemudahan utama bagi pemain-pemain ski untuk berpatah balik ke lokasi permulaan selepas menuruni pergunungan dengan ski.

Sekitar 40 minit perjalanan, kami tiba di hentian terakhir dan memerlukan sedikit pendakian ke Gonnergrat. Rupa-rupanya Gonnergrat ini terletak di tengah-tengah kawasan pergunungan.

Jelas dapat dilihat 29 gunung lain di sekelilingnya termasuk Gunung Matterhorn yang sangat terkenal dan paling tinggi di situ iaitu setinggi 4,478 mdpl.

Tanpa penulis sedar, rupa-rupanya puncak Matterhorn itu menghiasi pembalut coklat Tobleron yang banyak dijual dan terkenal di negara kita.


COKLAT sememangnya terkenal di Switzerland dan menjadi pilihan di Zermatt.

Suhu ketika itu sekitar negatif 5 darjah Celsius, namun tidak begitu terasa kerana sinaran suria terpancar segar mengurangkan rasa sejuk di badan.

Sebaik habis makan tengah hari, kami bergerak ke puncak Gonnergrat untuk menikmati keindahan pergunungan di banjaran Alps ini.

Hanya kami yang bersantai menikmati keindahan, sedangkan ramai pelancong yang datang ke sini untuk bermain ski, papan luncur salji, ada juga yang bermain paragliding, ski helikopter, mendaki dan pelbagai aktiviti lain.

Selepas puas bergambar, kami berangkat pulang ke Zermatt dan bersiar-siar pula di pekan kecil. Dapat dilihat banyak hotel, hostel dan berpuluh-puluh restoran yang menyediakan pelbagai jenis hidangan dan toko barangan atau kelengkapan untuk pelbagai aktiviti pergunungan.

Itu membuktikan Zermatt adalah kawasan pelancongan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelancong dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 1:37 PM