MASJID al-Hussain dibina di atas laut menonjolkan ciri sebagai masjid terapung di Kuala Perlis.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
rencana@hmetro.com.my

Masjid al-Hussain, Kuala Perlis ini tersergam indah dengan penampilan seni bina Islam berciri moden resort tropika.

Ia mampu memuatkan hingga 1,500 jemaah dalam satu-satu masa.

Nama masjid ini diambil sempena nama cucu Rasulullah SAW yang bermaksud baik, bagus, mempunyai tarikan dan keunikannya tersendiri.

Terletak di pinggir pantai Kuala Perlis, pengunjung dari daerah itu yang hendak ke Pulau Langkawi pasti terpukau dengan keindahan pemandangan masjid berlatarkan lautan biru luas terbentang.

Dibina di atas keluasan tapak 1.21 hektar iaitu 0.8 hektar di atas laut dan 0.4 hektar di kawasan darat menjadikan masjid berkenaan dilihat terapung dari jauh.

Mula dibina pada 2006 dan beroperasi pada 8 Oktober 2011, masjid ini dirasmikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail kini antara tarikan di Perlis.


MASJID al-Hussain dihiasi batu granit berwarna kelabu.

Penggunaan cat bagi mengindahkan strukturnya tidak sampai 10 peratus, selebihnya menggunakan bahan ‘keemasan’ seperti batuan semula jadi.

Imam satu Masjid al-Hussain, Muhammad Najdi Mohd Noor berkata, penggunaan cat pada masjid berkenaan hanya meliputi bahagian siling masjid saja.

“Bahan ‘keemasan’ seperti batu karang, serpihan batu kuarza, granit, marmar dan kelikir atau pebel yang berkualiti dipilih untuk menyerlahkan konsep masjid yang mesra alam itu.

“Lokasinya yang berhadapan lautan antara faktor utama masjid ini tidak dihias dengan sebarang warna dari cat kerana penggunaan pada dinding akan membuatkannya terhakis,” katanya.

Beliau berkata Masjid al-Hussain antara masjid yang memiliki menara berkembar pertama di dunia.


REKA bentuk yang unik menambahkan lagi tarikan di masjid berkenaan.

“Fitrah manusia dicipta Allah adalah berpasangan dan martabatnya tertinggi di antara semua ciptaan-Nya.

“Puncak menara berbentuk heksagon melambangkan Rukun Iman dengan ketinggian keseluruhan menara ialah 31.3 meter (m) termasuk puncak berkembar masing-masing setinggi 7.1m,” katanya.

Muhammad Najdi berkata, antara keunikan pada menara masjid berkenaan ialah lampu indikator yang dipasang pada menara terbabit.

Menurutnya, lampu indikator berfungsi sebagai penanda masuk waktu solat bagi pelaut seperti nelayan, pengemudi feri pelancong dan mereka yang bertugas di lautan.

“Lampu ini sebagai petunjuk masuknya waktu solat khusus Maghrib, Isyak dan Subuh.

“Jika Maghrib lampu biru dinyalakan, lampu hijau untuk Isyak dan kedua-dua lampu berkenaan akan bernyala jika tibanya Subuh bagi memudahkan mereka berada di lautan menunaikan solat,” katanya.

Tingkap luas yang dilengkapi cermin kaca berlukis diimport khas dari Amerika Syarikat menyerlahkan lagi keindahan ruangan dalamannya.


JEMAAH menunaikan solat Zuhur di Masjid al-Hussain, Kuala Perlis.

“Permaidani yang direka khas dari Mesir tidak kurang hebatnya memberikan keselesaan dan kelembutan baldunya.

“Reka bentuk dalaman kubah juga antara tarikan utama dalam ruang solat dengan rekaan pelbagai corak bunga dan geometri berwarna biru serta keemasan dalam ukiran Ganch dari seni Islam Uzbekistan zaman silam.

“Di bahagian puncak dalaman kubah yang membulat ini diukir kalimah ‘Allah’ sementara bahagian bawahnya bercorak bintang lima penjuru melambangkan Rukun Islam dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Arab, Cina dan Tamil yang mencerminkan sifat agama Islam yang universal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 1:51 PM