MENGABADIKAN kenangan di kawasan pergunungan di Nepal.
Rodly Fadly
rencana@hmetro.com.my

Impian suami untuk berbasikal ke London, isteri pula mahu menunaikan umrah mencetuskan idea kepada pasangan Ahmad Mohd Isa, 29, dan isterinya, Noradilah Mohd Sapie, 30, untuk berkayuh ke Tanah Suci Makkah.

Pengembaraan sejauh 14,000 kilometer (km) merentasi 14 negara itu mengambil masa 15 bulan, tepatnya bermula 8 April 2016 dan sampai ke destinasi pada 6 Julai tahun lalu.

Pasangan suami isteri itu memulakan kayuhan dari Kuala Lumpur ke sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, kemudian meneruskannya dari negara gajah putih itu menuju ke Myanmar.

Seterusnya mereka merentasi India, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Afghanistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu dan akhirnya tiba di Arab Saudi.

Sepanjang kayuhan dinamakan misi Kembara Memburu Hikmah itu, Ahmad dan Noradilah mengutip pelbagai pengalaman pahit manis yang dianggap paling berharga dalam hidup mereka.

Bukan saja dapat menghayati kebesaran Allah SWT dengan menikmati atmosfera berbeza di setiap benua yang dijejaki, malah turut bertemu pelbagai ragam hidup dan budaya masyarakat.

Namun sesuatu yang sangat terkesan di hati mereka apabila menerima layanan baik daripada setiap orang ditemui tanpa menjadikan sempadan agama dan budaya sebagai tembok pemisah.



BEREHAT sambil menikmati keindahan alam.

“Sebenarnya, sejak remaja saya sudah menyimpan impian untuk berbasikal ke London namun setiap kali menyuarakan hasrat itu kepada emak dan ayah, mereka keberatan untuk melepaskan saya pergi.

“Adilah (Noradilah) pula menyimpan cita-cita menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah namun tidak kesampaian kerana memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

“Apabila kami berkahwin pada Disember 2014 dan saling berkongsi impian masing-masing, tercetus idea untuk berkayuh sambil mengembara hingga ke Makkah.

“Saya fikir ini idea yang bagus, selain berpeluang menunaikan hajat mengembara dengan berbasikal, pada masa sama dapat memenuhi impian isteri untuk ke Tanah Suci.

“Malah, saya rasa pengembaraan kami itu akan lebih barakah kerana pengakhirannya adalah menunaikan umrah berbanding ke London,” kata Ahmad.

Laluan penuh cabaran

Ahmad mengakui sepanjang pengembaraan itu mereka berdepan pelbagai cabaran yang bukan saja menguji kekuatan fizikal malah mental dan keimanan. Apatah lagi bagi Noradilah yang tiada pengalaman menyertai aktiviti berbasikal berbanding Ahmad.

“Walaupun kami mengehadkan kayuhan hanya 50 hingga 70 kilometer (km) sehari, ia menuntut kekuatan fizikal bukan calang-calang kerana menempuh laluan yang pelbagai.

“Di Myanmar contohnya, kami terpaksa meredah jalan berselut menyebabkan basikal kerap tersangkut sementara di India pula jalannya berdebu hingga kadang-kadang menghalang penglihatan.

“Keadaan jalan di Nepal dan Pakistan yang bergunung-ganang pula lebih mencabar terutama apabila hujan. Selain sempit, bengkang-bengkok dan licin, laluan turut terhalang apabila berlaku tanah runtuh.

“Di China dan Kazakhstan pula kami berdepan dengan cuaca sejuk melampau serendah negatif 20 darjah Celsius hingga ada kawasan yang dilalui bersalji tebal,” cerita Ahmad.


APABILA letih, di mana-mana saja sempat melelapkan mata.

Bagi Noradilah pula, cabaran sudah mula terasa sebaik menjejakkan kaki ke bumi Myanmar kerana peraturan negara itu tidak membenarkan pelancong atau pengembara seperti mereka bermalam selain di hotel.

Bekalan wang yang terhad iaitu hanya RM1,900, seboleh-bolehnya mereka mahu mengelak tidur di hotel sebagai langkah mencatu perbelanjaan.

“Bukan saja kami tidak dibenarkan menumpang di rumah penduduk malah tak boleh bermalam di masjid apatah lagi memasang khemah. Jika melanggar peraturan ini, kami boleh ditangkap dan dijatuhkan hukuman.

“Hari sudah petang ketika kami sampai di daerah Kawkirik. Walaupun sedia maklum dengan peraturan itu, kami memberanikan diri bermalam di pondok usang tidak berdinding dalam sebuah kebun di tepi jalan itu.

“Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata kerana bimbangkan keselamatan. Apatah lagi Myanmar sedang bergolak dengan konflik agama yang membabitkan etnik Rohingya.

“Tapi, alhamdulillah, tiada apa yang berlaku. Malah, sepanjang berada di negara itu, kami menerima layanan baik daripada penduduk setempat. Ada juga penduduk yang berani dengan membenarkan kami bermalam di rumah mereka.

“Selebihnya, kami tidur di stesen kereta api dan bas atau menyewa rumah tumpangan yang harganya sekitar RM30 atau RM40,” kata Noradilah.


PONDOK usang di Kawkirik, Myanmar menjadi tempat bermalam.

Namun menurut Noradilah, di negara lain, mereka tidak menghadapi banyak masalah. Mereka bukan saja diberi tempat bermalam malah dilayan seperti keluarga.

Selain itu mereka juga sangat bersyukur kerana Kedutaan Malaysia di setiap negara yang disinggahi turut menghulurkan pelbagai bantuan dan sokongan demi menjayakan misi itu.

Bagi Ahmad, kesabarannya benar-benar teruji apabila terpaksa berurusan selama 15 jam di sempadan Pakistan-China di Karakoram sebelum dapat memasuki tanah besar itu.

“Bayangkan kami tersangkut di pusat pemeriksaan Khunjerab-Pass dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam. Ini kerana prosedur di situ hanya akan melepaskan kami masuk secara berkumpulan.

“Setiap individu yang mahu melepasi sempadan itu akan diperiksa antara satu hingga dua jam dan walaupun sudah melepasi pemeriksaan itu, kami terpaksa menunggu hingga selesai pemeriksaan ke atas orang lain pula.

“Kebetulan pada hari itu ada kira-kira 50 orang yang mahu menyeberangi sempadan seperti kami,” kata Ahmad.


AKHIRNYA impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan menunaikan umrah tercapai.

Pasangan itu juga turut mengalami detik cemas di Afghanistan apabila hampir ditangkap tentera negara itu kerana disyaki perisik.

“Saya hampir ditarik masuk ke dalam kereta sebelum seorang kenalan warga tempatan datang menyelamatkan dengan menjelaskan kepada tentera itu siapa kami sebenarnya.

“Menurut rakan itu, jika saya sudah dibawa tentera, peluang untuk melepaskan diri sangat tipis kerana mereka tidak akan ‘memberi muka’ kepada orang yang disyaki sebagai perisik,” ujar Ahmad.

Namun, menurut Ahmad dan Noradilah, segala kepayahan dan ujian yang mereka lalui sepanjang pengembaraan itu terasa berbaloi apabila dapat menjejakkan kaki ke kota suci Makkah. Lebih menggembirakan, mereka tiba ketika Ramadan.

“Saya dan Adilah tidak dapat menahan sebak sebaik melihat Kaabah di depan mata kami. Terasa keletihan berkayuh selama 15 bulan hilang sekelip mata.

“Kami tiba pada 10 terakhir Ramadan, jadi sempat berpuasa dan menyambut Aidilfitri di sana. Kami benar-benar teruja apatah lagi apabila emak, abah, ibu, bapa mentua dan adik-beradik turut bersama-sama meraikan kejayaan misi kami di Tanah Suci itu,” kata Ahmad mengakhiri perbualan.


AHMAD (tiga dari kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut mengerjakan umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 2:07 PM