LAMPU 2017 sentiasa menjadi tarikan.
HM Digital

Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2017 baru-baru ini di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.

Ia disambut meriah dengan kehadiran sekitar 1.2 juta pengunjung tempatan dan asing.

Malah, pada malam kemuncak acara itu bertepatan sambutan tahun baru 2018 apabila LAMPU 2017 dikunjungi sekitar 500,000 pengunjung dalam dan luar negara bagi menyaksikan pelbagai pertunjukan bertemakan cahaya lampu.

Menurut kenyataan PPj, acara tahunan kali kelima itu berjaya mempromosikan Putrajaya sebagai bandar perintis di Malaysia yang menerapkan elemen pencahayaan bersistematik dan dinamik.

Acara itu berjaya khususnya dalam aspek penggunaan teknologi pencahayaan yang terkini dan penjimatan tenaga.

LAMPU 2017 turut menampilkan komponen ‘The Lighting Effect’ iaitu menghiasi ruang di sepanjang Persiaran Perdana Presint 2 dan Presint 3 dengan hiasan pelbagai rona lampu.

Malah, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api secara langsung dan bunga api digital yang dipersembahkan bagi meraikan detik ambang tahun baru 2018.

Persembahan berkenaan berjaya mengubah suasana malam di Dataran Putrajaya menjadi ceria dengan bangunan di sekitarnya bermandikan cahaya berwarna-warni.

Pengunjung bukan saja terpegun menyaksikan persembahan pemetaan cahaya tapi turut diserikan dengan rentak lagu yang mengiringi persembahan berkenaan.

Pada malam sambutan tahun baru 2018, festival berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan solo violin oleh Endang Hyder membawa lagu Kun Anta dan Thinking Out Loud.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 10:53 AM