PESERTA bersemangat menyertai aktiviti terjun udara.
Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa
rencana@hmetro.com.my


Cuaca cerah hari itu seakan-akan menyambut baik kehadiran kami berlima ketika merancang membuat terjunan udara. Ini kerana cuaca ibarat nadi utama dalam aktiviti ini.

Pembelajaran secara teori dan latihan terjunan yang diperoleh dalam kelas sebelumnya sudah semestinya perlu, bagi memastikan kami berlima bersiap siaga untuk membuat terjunan udara dengan baik.

Bukan mudah untuk melakukan aktiviti rekreasi yang cukup mencabar ini kerana setiap penerjun perlu mempunyai kemahiran dalam pelbagai disiplin yang sudah ditetapkan kerana ia membabitkan soal keselamatan.

Lokasi terjunan kali ini diadakan di Tekah Airstrip di Taiping, Perak iaitu kawasan sinonim dengan aktiviti terjun udara dilakukan orang awam seperti kami.

Malah latihan pada hari itu juga turut membabitkan dua segmen terjunan iaitu terjun statik (static jump) yang memulakan terjunan pada ketinggian 1,219.2 meter (m) disertai Nurulhani Othman, Mohd Hafizul Asraf Ahmad, Mohd Nazri Abdul Rahim dan Ahmad Tarmizie Suhaimi.

Sementara ‘freefall’ yang memulakan terjunan pada ketinggian 2,438.4 meter hanya dilakukan penulis seorang.

Selepas bersarapan, semua penerjun diberi taklimat keselamatan atau sesi ulang kaji oleh jurulatih kerana sudah lebih setahun lamanya kami tidak melakukan terjunan.

Taklimat ini penting untuk kami mengingati semula perkara asas bagi mempersiapkan diri sama ada sebelum atau ketika membuat terjunan kelak.

Antara perkara yang diberi penekanan ialah cara keluar pesawat, pengawalan payung, mencari tempat mendarat dan cara mendarat yang betul dan selamat.

Perasaan ketika itu bercampur baur antara teruja dan bimbang kerana ada antara kami sudah lama tidak membuat terjunan. Tambahan pula ada antara kami yang masih ‘hijau’ dalam bidang ini.

Bersandarkan tunjuk ajar jurulatih yang begitu profesional dan berpengalaman, setiap penerjun dapat belajar serta memahami dengan pantas. Sememangnya jurulatih aktiviti ini sangat tegas kerana ia berisiko dan seolah-olah mempertaruhkan nyawa.

Usai sesi ulang kaji, kami diminta bersedia dengan pakaian dan peralatan untuk membuat terjunan serta dibahagikan kepada beberapa ‘sortie.’ Setiap ‘sortie’ hanya membabitkan dua penerjun dalam satu pesawat.

Bagi setiap ‘sortie,’ penerjun yang mempunyai badan yang lebih berat akan terjun dahulu atas sebab keselamatan dan memudahkan kawalan daripada jurulatih.

Debaran semakin terasa apabila enjin dihidupkan dan kipas pesawat mula berputar. Sukar digambarkan perasaan ketika itu, ditambah pula dengan belakang menggalas beg payung terjun yang agak berat. Namun dengan semangat daripada rakan-rakan dan jurulatih, kaki terus bersemangat melangkah menaiki pesawat.

Ketika pesawat Cessna terbang di udara, sesekali mata memandang ke arah altimeter yang dipasang di dada untuk memeriksa ketinggian sambil memandang ke arah pemandangan bumi yang tersergam indah.

Jelas kelihatan bandar Taiping dan Bukit Larut begitu memukau mata serta perairan Selat Melaka yang luas. Benarlah bahawa aktiviti terjunan udara ini bukan sekadar menguji keberanian kami malah dapat menikmati panorama indah bumi dari udara.

Jarum altimeter menunjukkan 4,000 kaki (1,219.2 m) bermakna kami akan dipanggil ‘jumpmaster’ pada bila-bila masa untuk keluar dari pesawat dan mengambil kedudukan untuk terjun.

Selepas ‘jumpmaster’ memberi arahan untuk mengambil kedudukan, kami segera keluar dan berpijak pada platform di atas tayar pesawat sambil tangan memegang tiang pesawat.

Apabila bersedia, kami terus diberi arahan oleh ‘jumpmaster’. Kami dikehendaki melompat sambil mendepakan tangan dan mata memandang ke arah pesawat.

1,000, 2,000, 3,000, 4,000, 5,000 check! Up! Itulah yang perlu dihitung penerjun sebaik melepaskan tangan dari pesawat. Sebaik hitungan selesai, payung sudah kembang dengan baik di atas kepala.

Kami perlu melakukan kerja-kerja menguji payung seperti brek, memeriksa arah angin dan lokasi mendarat. Turut dikehendaki ialah terbang atau bermain di kawasan ‘upwind’ saja bagi memudahkan kami ke tempat mendarat atau dikenali sebagai ‘dropzone.’

Hampir 10 minit kami terbang di udara sambil mengawal payung sendiri, kini kembali berpijak di bumi dan mendarat dengan selamat. Rasa puas sukar untuk digambarkan dengan kata-kata!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 10:59 AM