NAFISAH (tengah) menyerahkan sijil penyertaan kepada peserta Muhammad Asri Hishamuddin Famdie (kanan) dari Yala, Thailand.
PESERTA bertanyakan soalan kepada Hamdan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Sejak abad ke-17, tulisan Jawi menjadi bahasa perantara dan pengantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat.

Tapi atas alasan perpaduan kaum, tulisan Rumi dijadikan tulisan rasmi hingga hampir melenyapkan penggunaan tulisan Jawi pada hari ini.

Lebih menyedihkan apabila tidak ramai generasi baru yang berkebolehan menulis dan membaca tulisan Jawi dengan baik padahal tulisan berkenaan pernah mencapai zaman kegemilangannya satu ketika dahulu.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKwa) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai program berasaskan tulisan Jawi dan khat.

Ia bertujuan memartabatkan tulisan Jawi dan menyemarakkan semula tulisan berkenaan sebagai budaya hidup masyarakat Islam amnya.

Ketua Pengarah PNM Datuk Nafisah Ahmad berkata, program berasaskan tulisan Jawi dan khat yang diadakan sebelum ini antaranya membangunkan Perisian K-Jawi pada 2007, menerbitkan Kit Tatih Jawi (2008), menganjurkan Bengkel Klinik Jawi (2017) dan Rancangan Klinik Jawi@IKIM.fm (sejak 2012 hingga kini).

Beliau berkata, Rancangan Klinik Jawi@IKIM.fm adalah program tulisan Jawi dan khat yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di negara ini.

“Ia terhasil menerusi resolusi Persidangan Kebangsaan Tulisan Jawi kali ke-2 pada Disember 2011 di PNM yang mencadangkan supaya menggunakan medium penyiaran dalam menyebarluaskan pengajaran dan pelajaran tulisan Jawi.

“Penerbitan rancangan ini (Klinik Jawi@IKIM.fm) menjadi platform pembelajaran sepanjang hayat yang sesuai bagi semua peringkat umur dan bangsa di negara ini kerana topik disampaikan tidak terlalu berat untuk difahami,” katanya.

Katanya, rentetan itu pihaknya menganjurkan pula Kem Klinik Jawi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang dikendalikan Pakar Rujuk Tulisan Jawi Hamdan Abdullah dan Pembimbing Rancangan Klinik Jawi di Radio IKIM.fm Prof Madya Dr Adi Yasran Abdul Aziz.

“Kira-kira 200 peserta menyertai program ini yang diadakan sebagai platform menyemarakkan budaya pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi serta mendidik rakyat masyarakat mencintai tulisan Jawi.

“Selain itu, kem ini juga dapat mendedahkan peserta dengan kaedah ejaan Jawi terkini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka,” katanya.

Katanya lagi, bukan itu saja kem terbabit turut dilihat dapat melahirkan masyarakat celik Jawi dan al-Quran kerana menggalakkan mereka mendekati tulisan Jawi sebagai satu skrip penulisan indah, mudah dan perlu dikuasai semua sebagai legasi budaya dan warisan masyarakat negara ini.

Malah katanya, semoga dengan usaha itu tulisan Jawi tidak lagi menjadi kitab lama yang terbiar di almari usang, sebaliknya martabatnya dijulang seperti ‘aset’ kepada orang Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:34 PM