PAK Malau melakukan silap mata kepada kakitangan Balai Seni Negara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Sayur kangkung ulam kucai,

Makan dalam bulan puasa,

Tuan hamba semua datang beramai-ramai,

Boleh Pak Malau tahu dari mana.

Itu pantun empat kerat yang sering disampaikan Pak Malau setiap kali menyambut pelanggan yang mengunjungi kedai makannya.

Jika pelanggan dapat membalas semula pantun itu menggunakan ayat yang penuh dengan falsafah kesenian dalam masa kurang 60 saat akan diberikan diskaun 10 peratus harga makanan.

Malah, Pak Malau atau nama sebenarnya Jamaludin Hashim, 65, juga akan membuat persembahan silap mata bagi menghiburkan pelanggan terutama kanak-kanak.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu bukan saja sarat dengan unsur humor, sikap mesranya terhadap pelanggan menyebabkan kedai Nasi Dagang Pak Malau miliknya sentiasa menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Beroperasi di Dataran Lang, pekan Kuah, Langkawi, kedai itu sentiasa riuh dengan gelak tawa pelanggan kerana terhibur melihat gelagat Pak Malau.

Menurutnya, seluruh Langkawi mengenali dirinya dengan gelaran itu dan tanpa mengetahui nama sebenarnya.


PAK Malau bersama nasi dagang yang dijual di kedainya

Katanya, gelaran itu membawa tuah dalam perniagaan nasi dagang diusahakan bersama isteri, Zuhariah Daud, 60, yang turut dikenali sebagai Mak Malau dalam kalangan pelanggan.

“Nama ini (Pak Malau) tercetus apabila isteri menyatakan hasrat untuk berniaga nasi dagang. Terus saya teringatkan pantun ini, kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu.

“Ini mencetuskan idea untuk menggelarkan diri sebagai Pak Malau yang menjadi strategi perniagaan,” katanya kepada penulis ketika mengunjungi kedainya bersama kakitangan Balai Seni Negara, baru-baru ini.

Katanya, beliau baru sebulan setengah beroperasi di Dataran Lang kerana berpindah dari lokasi lama kedai itu di Kampung Mahsuri atas faktor tertentu.


TIDAK kekok menyediakan makanan pelanggan.

“Kedai lama beroperasi di tepi sawah padi yang benar-benar memberikan suasana unik kepada pelanggan. Makan di tepi sawah dengan panorama indah sambil disapa angin dingin. Ia membuatkan mereka mengimbau kembali nostalgia suasana kampung sebenar yang kini sukar untuk dinikmati kembali,” katanya yang hampir enam tahun mengusahakan perniagaan itu.

Katanya, kedainya menjadi terkenal selepas blogger antarabangsa menularkannya di media sosial hingga pernah menerima kedatangan 500 pelanggan. Beliau tidak menyangka nasi dagang yang terkenal di pantai timur itu diterima baik pelancong di Langkawi.


BERAMAH mesra dengan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 7:59 AM