DR Ariffin berkerja 10 tahun di Yahoo Inc.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Temu janji yang dirancang selama dua minggu untuk menemu bual lelaki ini akhirnya terlaksana. Pada awalnya sedikit sukar untuk mendapatkan tarikh yang bersesuaian dek kesibukannya memenuhi pelbagai undangan menyampaikan ceramah sekembalinya dari Amerika Syarikat.

Dr Ariffin Yahaya, 53, yang namanya kurang dikenali di negara ini tetapi agak terkenal di negara Uncle Sam itu kerana pernah memegang jawatan penting ketika bertugas di ibu pejabat Yahoo Inc, Sunnyvale, California.

Beliau adalah bekas Ketua Arkitek Teknologi Yahoo Inc yang menjadi anak Melayu dan rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan berkenaan di syarikat gergasi antarabangsa itu.

Itu satu rekod membanggakan buat negara ini kerana ramai tidak mengetahui yang beliau dalam diam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Sudah pastinya, beliau bukan calang-calang orang meskipun tiada sebarang publisiti melaporkan kejayaannya di media massa sebelum ini.

Tidak salah rasanya jika menganggap beliau sebagai ‘wira tanpa nama’ yang boleh dijadikan inspirasi kepada generasi muda di negara ini untuk disegani di peringkat global.


DR Ariffin menjadi rakyat Malaysia dan anak Melayu pertama memegang jawatan tinggi di syarikat gergasi antarabangsa Yahoo Inc di Amerika Syarikat.

Dr Ariffin menetap di Amerika Syarikat selama 20 tahun kerana melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang sama. Kemudian bekerja di syarikat Yahoo sebelum mengambil keputusan terus pulang ke tanah air, empat bulan lalu.

Fokusnya kini ialah membangunkan syarikat sendiri berasaskan strategi teknologi iaitu digital, Internet dan data raya di ibu negara selain mahu berkongsi kepakarannya untuk pembangunan negara ini.

Berkongsi berkenaan kejayaannya itu, Dr Ariffin mendedahkan ia bukan satu perjalanan yang mudah kerana turut berhadapan cabaran seperti orang lain.

Katanya, beliau pernah tidak menamatkan pengajian ijazah pertamanya sebelum ini kerana lebih berminat menceburi perniagaan, tapi kegawatan ekonomi yang berlaku pada 1998 turut memberi kesan kepada perniagaannya.

“Di sebalik ujian ini ia memberi hikmah besar dalam hidup apabila pintu hati saya terbuka untuk menyambung semula pengajian yang tertangguh (Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer).


BERSAMA rakan sekerja

Kehidupan mencabar

“Sejak itu bermula liku kehidupan saya yang mencabar sebagai penuntut kerana terpaksa melakukan tiga pekerjaan sambilan serentak dalam satu masa bagi menampung kehidupan dan pengajian di California State University, Northridge, California,” katanya

Dr Ariffin menamatkan pengajiannya pada 2001, tapi sekali lagi diuji dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan ekoran Amerika Syarikat pada ketika itu dilanda satu krisis iaitu ‘dot com bust’ yang menyebabkan banyak syarikat komputer muflis.

Namun, benar rezeki tidak pernah salah alamat apabila seorang profesor menawarkannya peluang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) atas tajaan syarikat Hitachi.


BERSAMA rakan dari pelbagai negara.

“Tawaran belajar itu datang selepas pihak Hitachi berminat dengan penyelidikan berkaitan perangkaian yang saya lakukan ketika pengajian ijazah sarjana muda lalu.

“Ibarat bulan jatuh ke riba, saya menganggap peluang ini sebagai rezeki tidak dijangka dan menerimanya dengan penuh rasa syukur,” katanya.

Katanya, selepas memperoleh PhD pada 2006, beliau cuba membuka perniagaan perisian komputer tapi malangnya berlaku krisis kewangan di Amerika Syarikat pada 2008 yang menyebabkan dua pelabur dalam syarikatnya muflis. Keadaan itu turut menjejaskan syarikat miliknya.

“Kemudian, saya mengorak langkah mencari kerja bersesuaian dengan kebolehan dan kepakaran secara serius.

“Di situ cabarannya bukan sedikit. Setiap calon perlu melalui beberapa sesi temu duga yang sangat mencabar. Saya diajukan soalan teknikal dan permasalahan yang memerlukan penyelesaian secara terperinci serta spontan.

“Justeru, sebagai langkah persediaan menghadiri temu duga, saya meluangkan masa antara 14 hingga 16 jam setiap hari selama tiga bulan untuk mengulang kaji buku berkenaan teori dan algoritma bagi memastikan asas pengetahuan teknikal saya benar-benar baik,” katanya.


DR Ariffin tetap meluangkan masa bercuti walaupun sibuk dengan tugas.

Usaha kerasnya tidak terhenti di situ saja apabila turut membuat latihan pengaturcaraan dan penyelesaian masalah bagi menambah baik pengetahuan praktikalnya.

Dr Ariffin melahirkan rasa syukur kerana kepayahan itu berbaloi apabila ditawarkan jawatan daripada beberapa syarikat gergasi ketika itu antaranya, Qualcomm, Amazon dan Yahoo.

“Bagaimanapun, saya memilih Yahoo dan jawatan pertama saya di sana ialah sebagai jurutera carian. Di sini bermulanya kerjaya saya di syarikat ini.

Tugas berat

“Kemudian saya dipindahkan ke bahagian Shopping, Local dan Maps. Seterusnya dinaikkan pangkat sebagai jurutera kanan dan ketua jurutera.

“Di Maps ini saya diberikan tanggungjawab menjadi arkitek sebelum dinaikkan pangkat menjadi ketua arkitek,” katanya.

Beliau kemudian terbabit dengan projek mengurai sistem Yahoo yang menyeluruh dan itu adalah projek penting syarikat berkenaan.


PENGALAMAN bekerja di Amerika Syarikat mendedahkan cara kerja mengutamakan kualiti.

“Selepas setahun, saya pindah ke bahagian Search, ditawarkan jawatan ketua Search dan menjadi arkitek di Search. Lebih kurang setahun kemudian, saya dilantik menjadi ketua arkitek teknologi,” katanya.

Tanggungjawab Dr Ariffin sebagai ketua arkitek teknologi sudah cukup berat selain perlu menguruskan 20 arkitek, 200 pengurus produk dan 1,000 kakitangan dari pelbagai negara.

Berkongsi bidang tugas itu, beliau berkata, tanggungjawab arkitek teknologi ialah membuat pelan membina sistem komputer mengikut spesifikasi produk.


MENYAMPAIKAN ceramah di Pusat Inovasi Maybank.

“Ia termasuk memastikan sistem akan responsif dengan pengguna yang ramai selain menentukan teknologi digunakan untuk membina sistem ini mengikut keperluan dan kos.

“Sementara tugas sebagai ketua arkitek teknologi pula ditambah dengan tanggungjawab fungsi pengurusan dan tekanan untuk mencapai sasaran pendapatan syarikat,” katanya.

Tambahnya, bertugas di Yahoo mencabar kerana syarikat berkenaan memiliki ramai pengguna dan perlu mengurus serta memproses 400 juta e-mel setiap hari.

Dr Ariffin menegaskan bangsa Melayu perlu sentiasa berusaha meningkatkan prestasi diri supaya mereka dipandang tinggi di peringkat global.


ORANG ramai hadir mendengar ceramah daripada Dr Ariffin.

“Jika menyingkap kembali sejarah kehidupan saya sebelum berjaya memegang jawatan penting ini, saya pernah beberapa kali gagal dalam perniagaan dan mengikat perut menahan lapar serta melakukan pekerjaan sampingan ketika belajar di Amerika Syarikat.

“Kadang-kadang saya seperti tidak percaya pernah bekerja di Yahoo dan nasihat kepada anak muda negara ini supaya sentiasa berusaha meningkatkan prestasi kerja.

Jika diberikan tugas, lakukan dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati kerana kejayaan akan datang selepas itu. Paling penting sentiasa konsisten dan insya-Allah mampu bersaing bukan saja di negara ini, tapi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tanpa berselindung Dr Ariffin berkata, beliau sudah lama menyimpan hasrat pulang ke tanah air, tapi atas faktor tertentu menyebabkan ia hanya dapat dilaksanakan tahun ini.


DR Ariffin bersama kakitangan Maybank dalam sesi perkongsian pengalaman bekerja di Yahoo di Pusat Inovasi Maybank.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 11:15 AM