PENGUNJUNG menghayati karya Nor Tijah. FOTO/ASYRAF HAMZAH
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


BARANGAN lama sering dianggap tidak berguna dan akhirnya dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Berbeza dengan mereka yang memiliki daya kreativiti apabila melihat ia sebagai satu ‘sumber’ untuk menghasilkan produk menarik.

Begitu juga dengan pelukis berbakat besar negara iaitu Nor Tijah Firdaus yang menggunakan sisa elektronik dalam menghasilkan tujuh karya bersirinya.

Berjudul ‘Leaders of The Nation,’ karya itu memaparkan potret perdana menteri pertama daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hingga Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh.

Nor Tijah berkata, semua karya itu menggunakan bahan sisa elektronik antaranya komputer yang diperoleh dari tapak pelupusan di Selangor.

“Saya guna medium ini (sisa elektronik) untuk mencipta kelainan dan mempelbagaikan lukisan kontemporari ini.

“Ia bukan satu tugas yang mudah kerana perlu mencari di tapak pelupusan dan menguruskan secara teliti kerana barangan ini mengandungi bahan kimia serta toksik membahayakan kepada kesihatan serta alam sekitar,” katanya.


HAAFIZ Shahimi bersama karya beliau di Pameran Y Canvas di Core Design Gallery. FOTO/ASYRAF HAMZAH

Idea menghasilkan karya berkenaan adalah sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang berlangsung pada Ogos serta September lalu.

“Tujuannya untuk memberi pendedahan kepada generasi muda berkenaan tujuh perdana menteri negara yang setiap mereka mempunyai rekod pencapaian masing-masing.

“Penggunaan sisa elektronik juga menunjukkan Malaysia sudah mengalami pertumbuhan industri sejak pemerintahan Tunku Abdul Rahman,” katanya.

Seorang lagi pelukis Haafiz Shahimi, menampilkan empat karya bersirinya berjudul Constant Revival yang menggunakan api sebagai medium utama karya berkenaan.

Katanya, ia adalah kesinambungan karya prototaipnya berjudul Kembali Bernafas pada 2012.

“Tapi kali ini ingin menonjolkan pembaharuan dan kesempurnaan karya daripada pelbagai sudut yang menyerlahkan ciri-ciri kehalusannya.

“Imej daun kering pada lukisan ini membawa maksud kitaran kehidupan manusia yang bermula dengan tumbuh pucuk baru (peringkat bayi), daun membesar kemudian gugur dan akhirnya kering (kematian),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 3:50 AM