Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Selaras dengan evolusi teknologi fesyen terkini, busana mewah tidak lagi terhad dengan hiasan jemeki pada fabrik.

Sebaliknya kebanyakan pereka pergi lebih jauh apabila menampilkan corak secara tiga dimensi (3D) pada pakaian dihasilkan.

Apabila memperkatakan rekaan terbaru yang menjadi satu trend terkini, kebanyakan pereka menampilkan corak flora dan fauna dengan paten atau corak dihasilkan daripada bahan mesra fabrik secara timbul atau dijahit khas bagi mewujudkan perhiasaan pada busana dihasilkan.

Hasilnya, corak pada fabrik kelihatan nyata dan lebih menyerlah apabila selebriti menyarungnya dalam bentuk busana dan digayakan di acara karpet merah.

Begitupun, untuk menghasilkan busana dengan corak 3D ini memerlukan kreativiti tinggi terutama dalam memastikan pakaian dihasilkan itu tetap kelihatan anggun apabila digayakan dan tidak jelik mahupun pelik.

Fesyen corak 3D ini dianggap sebahagian daripada perincian yang menyerlahkan busana dan fesyen ‘avant garde’ kerana tidak mudah untuk dihasilkan.

Pelakon dan model terkenal, Cik Puan Juliana Evans memakai gaun biru lembayung dengan bahagian atasnya dihiasi dengan corak 3D rama-rama.

Tidak dinafikan rama-rama adalah objek popular dan menjadi pilihan kebanyakan pereka fesyen dalam menghasilkan pakaian dalam corak 3D.

Heilee Steinfeld dan Raphaela Neihausen, memilih pakaian yang menampilkan corak 3D dan sekali imbas fabrik menjadi latar kepada taman bunga.

Corak 3D berlebihan juga boleh menjadikan busana digayakan nampak sarat seperti gaun yang tersarung ditubuh Janelle Monae dan Chrissy Teigen.

Pemilihan warna juga penting bagi mengimbangi corak sarat ditampilkan. Memilih fabrik organza hitam adalah jalan terbaik dan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 4:16 AM