Saerah dan Sharidan bertemu kembali tahun lalu. FOTO Arkib NSTP.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PENYANYI Siti Saerah, 34, bakal berkahwin kali kedua dengan jejaka pilihan hati yang juga kenalan lamanya, Mohd Sharidan Johari, 31.

Bagaimanapun, Saerah belum bersedia berkongsi tarikh rasmi perkahwinan mereka.

Katanya, dia bersyukur proses pertemuan kali pertama keluarga kedua pihak berjalan lancar.

“Tarikh itu biarlah rahsia. Apa yang pasti, proses pertemuan untuk mengenali hati budi antara kedua belah pihak yang berlangsung semalam berjalan lancar dan kami sepakat memilih tarikh pernikahan.

“Sampai masanya nanti saya akan maklumkan tarikh bahagia kami. Doakan semua berjalan lancar,” katanya kepada Harian Metro.

Saerah sebelum ini mengakui hatinya kembali berbunga selepas bertemu kembali dengan Sharidan setahun lalu. Mereka mula kenal sejak 2009.

Katanya, selepas bergelar ibu tunggal hampir empat tahun dia sedar perlukan teman hidup bagi memberikan kata-kata semangat dalam apa jua keadaan.

“Pendek kata, saya memang kena ada pasangan. Lagipun sekarang dia membantu saya dalam menguruskan kerjaya seni. Jadi, mahu atau tidak dia memang sentiasa bersama.

“Saya anggap pertemuan bersamanya sudah ditakdirkan dan dia terima status saya sebagai ibu tunggal. Tambah pula dia mudah mesra dan anak pun rapat dengannya,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Saiful Anuar Ahmad Shafie pada 27 Oktober 2010, mereka mempunyai tiga anak, Ummi Umairah, 7, Ahmad Daiyan, 6, dan Ahmad Aisy, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 6:47 PM