KHAIRUNAZWAN (duduk berpeluk tubuh) bersama pelajar yang pernah menyertai kelas anjurannya.
Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro.com.my.

Tanpa sedar, kumpulan teater Revolution Stage (RS) yang ditubuhkan pada 2006 kini sudah menginjak usia 12 tahun di pentas teater tanah air.

Kumpulan yang diasaskan Khairunazwan Rodzy ini juga sudah berjaya mementaskan pelbagai jenis genre teater antaranya muzikal SudirMania, Asrama-RA AllStars, SuperHero The Musical dan Sekuntum Mawar Merah.

Bahkan, menerusi teater inilah lahir nama besar di pentas teater dan lakonan antaranya Nam Ron, Beto Kusyari, Sherry Al Hadad dan Amerul Affendi.

Khairunazwan berkata, sempena ketibaan 2018, RS merancang menganjurkan kelas pengarahan teater iaitu #FirstDirectingWorkshop dan hanya membuka 10 tempat untuk individu yang berminat.

“Saya hanya memilih mereka yang terawal mendaftar dan kelas pertama kami akan bermula Sabtu ini (esok) dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

“Saya juga tak membebankan peserta apabila hanya mengadakan kelas pada hari Sabtu dan ia hanya berlangsung selama enam bulan,” katanya.

Menurutnya, peluang keemasan ini wajar direbut kerana peserta bakal mengarah sebuah pementasan teater sebenar selepas menamatkan pembelajaran.


ANTARA sesi latihan yang berlangsung.

“Inilah keistimewaan yang RS tawarkan. Yuran yang dikenakan amat berpatutan dan berbaloi dengan ilmu yang akan diperturunkan.

“Lokasi pembelajaran juga sangat strategik iaitu di Studio Revolution Stage, Petaling Jaya,” katanya.

Khairunazwan berkata, dia sendiri mengambil tanggungjawab untuk mengajar modul #KelasPengarahanTeater #FirstDirectingWorkshop ini.

“Sudah sampai masanya saya berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat mengarah teater. Alhamdulillah, saya sendiri sudah mengarahkan pelbagai teater antaranya Teater Muzikal SudirMania, Teater Asrama-RA, Teater Tepuk Amai-Amai, Teater Senapas, Ratna Kadhal dan banyak lagi.

“Untuk rekod, saya adalah pengarah paling muda yang mendapat peluang mengarah di pentas besar dan berprestij, Panggung Sari Istana Budaya menerusi teater Badai Semalam lakonan Erra Fazira, Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Umie Aida, Ziela Jalil dan ramai lagi,” katanya yang dikenali dengan perwatakan yang kelakar dan bersahaja.

Pada masa sama, RS juga menganjurkan kelas lakonan #FirstTimeWorkshop khas untuk individu berusia 15 hingga 19 tahun.


ANTARA sesi latihan yang berlangsung.

“Kelas pertama akan bermula pada 20 Januari ini, jam 2 petang hingga 5 petang. Ia juga hanya akan berlangsung pada Sabtu dan dijalankan di Studio Revolution Stage.

“Tempoh masanya selama 6 bulan (24 minggu) dan mereka yang menamatkan pembelajaran, akan berlakon sebuah pementasan teater bersama kami,” katanya.

Tenaga pengajar untuk kelas lakonan #FirstTimeWorkshop ialah Arshad Adam.

Khairunazwan berkata, penyertaan untuk kedua-dua kelas ini akan ditutup apabila pesertanya mencapai kuota yang ditetapkan.

Keterangan lanjut boleh diperolehi menerusi Facebook Revolution Stage.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:14 AM