RUHAINIES serah soal jodoh kepada Yang Maha Esa.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Ruhainies mendedahkan terpaksa memutuskan hubungan dengan seorang ahli perniagaan, baru-baru ini selepas mendapati lelaki terbabit mengenali wanita lain.

Bagaimanapun, Ruhainies akur dengan perpisahan itu apabila dia akui terlalu sibuk dengan komitmen kerja yang padat sehingga tiada masa untuk lelaki terbabit.

"Kami hanya sempat mengenali hati budinya selama enam bulan saja selepas dapat tahu dia ada mengenali wanita lain. Jadi, saya terpaksa memutuskan untuk tidak lagi berhubung dengan jejaka itu.

"Mungkin apa yang berlaku ini silap saya juga apabila sukar memberikan masa kepadanya kerana sibuk dengan kerja. Kadang-kadang jika saya cuti dan tidak ke set penggambaran, saya pula mahu menghabiskan masa dengan keluarga." katanya.

Menurut Ruhainies, buat masa ini dia tidak mahu fikir soal teman lelaki kerana bimbang dirinya sukar memberi perhatian.

"Saya serahkan soal jodoh ini kepada Yang Maha Esa. Buat masa ini, saya mahu fokus dengan kerjaya lakonan.

"Lagipun, saya tidak mahu pisang berbuah dua kali, berpisah kerana terlalu sibuk fokus dengan kerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 10:24 PM