ANAK yatim yang ditempatkan di madrasah MAPIM.
Nor Akmar Samudin
akmar@nstp.com.my

Menitik air mata Isman, 48, apabila melihat jenazah diusung ke tanah perkuburan tanpa keranda, hanya diangkat beramai-ramai yang jaraknya dari kem pelarian bukanlah dekat.

Ini kerana keranda yang ada tidak cukup untuk menampung kematian setiap hari di kem pelarian Rohingya di Balukhali, Jabal Ummah (Bukit Ummah), Cox’s Bazar, Bangladesh.

Bayi dan kanak-kanak yang menjadi 60 peratus penghuni di kem itu berkaki ayam, berbaju tanpa seluar dan ada yang berbogel. Masa depan yang suram dan kelam, entah bila akan berakhirnya penderitaan yang ditanggung.

Sebahagian daripada bayi dan anak kecil itu dilahirkan daripada rahim ibu mereka yang dirogol tentera Myanmar lalu mereka digelar ‘anak paksa rogol’.

Selepas melahirkan, perasaan terlalu benci dan kecewa mencengkam jiwa wanita itu, namun mengharungi kehidupan yang tidak menyediakan pilihan buat mereka, bayi itu terpaksa dijaga tanpa kerelaan.

Menurut Isman, itu hanyalah sekelumit penderitaan dan kesusahan yang diharungi ribuan pelarian di zon G Balukhali.

“Paling sedih melihat kanak-kanak yang tiada ibu bapa, sama ada meninggal dunia kerana lemas ketika berakit dari Myanmar ke kem itu atau dibakar hidup-hidup oleh tentera Myanmar,” katanya.


ANAK kecil ini memeluk guni yang berisi muqaddam.

Isman atau nama sebenarnya, Isman Nadim Isam dan tiga lagi anggota Hijjaz, Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman serta Muhammad Ariffin Ahmad Rahim bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), baru-baru ini menghantar dana ke kem pelarian itu.

“Sukar untuk saya menggambarkan kesusahan itu kerana hidup mereka memang terlalu daif. Hanya berlindung di bawah khemah bertiangkan kayu dan berbumbungkan plastik.

“Di situlah mereka tidur, masak dan makan dengan cuaca panas dan berdebu pada siang hari serta kedinginan ketika malam. Tanpa alas tidur yang sempurna, selimut entah ke mana, ibu bapa dan anak tidur bergelimpangan. Barangkali lena mereka jarang sekali mimpi yang indah-indah,” kata Isman.

Jelasnya, di kem itu ada rumah rehabilitasi yang menempatkan 19 mesin jahit. Di situlah wanita mengambil upah menjahit baju RM5 sehari.

“Seorang ibu yang baru 10 hari bersalin sanggup mengendong anaknya ke sana kerana dia tidak mahu dibuang kerja. Bayangkan, dengan badan yang masih lemah, anak di pangkuan dan darah nifas meleleh di betis, dia tegar bekerja.

“Ada yang berbondong-bondong, lelaki dan wanita, tua dan muda mencari kayu serta buluh di hutan yang jauhnya berbatu-batu dari kem pelarian. Paling seksa saya lihat mereka yang membawa buluh terpaksa membongkok sepanjang perjalanan agar buluh itu tidak rosak,” katanya.


BANTU ibu ambil air.

Kata Isman, kebanyakan lelaki di sana menghadapi penyakit angin pasang dan bercacing. Makanan bercatu, sekampit beras seberat lima kilogram bagi keluarga besar hanya boleh tahan tiga empat hari.

“Untuk berjimat, ada yang makan nasi sekali sehari. Jika ke sana dan melihatnya sendiri, baru anda faham betapa sengsaranya mereka,” katanya.

Sebelum ini Hijjaz pernah ke Gaza dan Syria, tetapi kesusahan rakyat Rohingya paling mencengkam perasaan kerana mereka mangsa penindasan, pembunuhan dan buli manakala rakyat Gaza serta Syria pula menderita kerana peperangan.

“Rasa insaf yang amat sangat dan sekembalinya kami ke tanah air, terus saya minta kawan mengumpulkan dana agar MAPIM boleh bawa ke sana,” katanya.

Mereka memerlukan wang untuk membina khemah yang lebih baik dibuat daripada buluh, kanvas dan zink.


KERANDA sangat diperlukan.

“Sekurang-kurangnya 1,000 lagi khemah diperlukan yang setiap satu berharga RM300 hingga RM600 dan 100 lagi telaga tiub. Masih ramai yang tiada tempat berteduh dan ada dua tiga keluarga pelarian berkongsi khemah kerana tiada keupayaan membina rumah sementara.

“Misi kali ini turut menyampaikan bantuan pakaian kutta kepada pelajar di ‘Village of Hope’, bantuan selimut tebal dan muqaddam di Jabal Ummah dan lebih 200 pek makanan kepada pelarian di Balukhali,” katanya.

MAPIM juga akan membina pusat rehabilitasi kanak-kanak, pusat rawatan trauma, pusat kegiatan wanita dan madrasah dengan anggaran dana diperlukan sekitar RM800,000.

Hakikatnya, pengagihan bantuan makanan misalnya, tidak lagi sekerap dulu malah sukarelawan mendakwa bantuan beras mula dikurangkan dan jumlah agihan lebih kecil.

Ada juga NGO yang mula terputus dana dan tidak lagi melaksanakan program bantuan di kem pelarian, termasuk di Teknaf yang terletak di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Oleh itu kepada pembaca yang mahu menyumbang boleh melayari www.danarohingya.com.


HIJJAZ sebagai duta MAPIM aktif mencari dana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 12:07 PM