DINA Nadzir
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PENYAMPAI radio Era FM, penyanyi dan pelakon, Dina Nadzir menafikan dia tidak ada keinginan untuk mendirikan rumah tangga apatah kini usianya sudah menginjak awal 30-an.

Katanya, kebanyakan teman sebayanya termasuk rakan seperjuangan dalam Malaysian Idol musim pertama (MI1), Jaclyn Victor sudah berumah tangga dan mempunyai anak.

“Siapa yang tidak mahu berkahwin dan memiliki keluarga. Saya ada keinginan itu, tetapi belum bertemu jodoh.

“Untuk calon pula, saya tidaklah terlalu cerewet. Cuma biarlah si ‘dia' itu boleh terima diri ini seadanya dan menghormati ibu bapa saya,” katanya.

Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir ketika ditemui berkata keluarganya memang ada bertanya, bila nak kahwin?

“Namun, hingga kini saya memang tiada jawapan muktamad kerana urusan jodoh ketentuan Allah SWT. Calon pun belum (ada).

“Namun, buat masa ini saya lebih selesa memberi fokus pada karier di konti radio, penyanyi dan pelakon teater.

“Di Era FM, saya sudah berkhidmat selama sembilan tahun, karier nyanyian pun aktif lagi termasuk giat berlakon teater Inggeris,” katanya.

Menurut wanita kelahiran Johor ini, jadual kerja dan aktiviti seni yang padat sudah membahagiakan dirinya.

Apapun, pemenang tempat kedua MI1 itu mengakui dia kini teruja untuk masuk ke studio merakamkan single terbaru, duet bersama penyanyi dan komposer, Hazami.

Katanya, dia tidak pernah menyepi daripada bidang nyanyian, cuma tiada single baru dan tawaran persembahan lebih menjurus pada majlis tertutup seperti acara makan malam korporat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 11:06 PM