FILEM biopik ini dijangka ditayangkan di lebih 5,000 pawagam di China, Taiwan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan beberapa negara Asia lain.
KHAIRY hadir pada majlis pelancaran.
FILEM ini dibintangi Datuk Rosyam Nor sebagai Misbun Sidek dan Tosh Chan sebagai Chong Wei.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Lebih 20,000 penonton dalam dan luar negara memeriahkan World Premiere Filem Biografi (Biopik) Lee Chong Wei: Rise Of The Legend yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tayangan perdana filem terbabit mempertontonkan versi potongan pengarah (director’s cut) berdurasi 133 minit berbanding 110 minit tayangan di pawagam tempatan.

Filem terbabit adalah kisah mengenai ikon badminton kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei.

Tayangan filem itu dipancarkan menerusi layar LED berukuran 40 meter panjang dan 17 meter tinggi sekali gus tercatat dalam Buku Rekod Malaysia (Malaysia Book of Records) dan Buku Rekod Asia (Asia Book of Records) sebagai tayangan filem terbesar.

Acara malam itu bertukar menjadi gamat dengan kehadiran jaguh badminton dunia terbabit membuat kemunculan pada acara permaidani merah bersama isteri, Datin Wong Mew Choo dan dua anak lelaki mereka, Kingston serta Terrance.

Chong Wei yang sedang dalam persiapan perlawanan All England minggu hadapan dilihat teruja dengan kemeriahan majlis terbabit.

Kata Chong Wei, dia tidak menyangka kisah mengenai dirinya akan difilemkan meskipun pengarahnya Teng Bee menyatakan hasrat menghasilkan filem itu ketika dia menyertai Sukan Olimpik London pada 2012, namun idea itu hanya dapat direalisasikan pada 2016.

“Saya sendiri tidak percaya kisah kehidupan saya akan difilemkan. Selama ini tidak pernah terlintas di fikiran untuk berkongsi kisah bagaimana dan apa yang dilalui untuk berada pada tahap sekarang.

“Pihak produksi filem ini sebenarnya sudah bertemu saya untuk mengangkat kisah hidup saya selepas tamat Olimpik London 2012. Namun, disebabkan jadual yang padat dengan latihan dan kejohanan antarabangsa, saya hanya memberi persetujuan berkongsi cerita selepas tamat Olimpik Rio 2016.

“Kehadiran lebih 20,000 penonton malam ini adalah detik yang cukup indah buat saya. Sejujurnya, saya tidak pernah menonton filem ini biarpun sudah disiapkan lebih awal sehingga malam kelmarin. Apa yang boleh diperkatakan, saya cukup berpuas hati dengan hasil filem ini. Apa yang penonton lihat dalam filem, itulah yang saya lalui sebagai pemain utama dunia.” katanya.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menyifatkan filem terbabit bukan sekadar memaparkan semangat kesukanan tetapi turut menjadi inspirasi seluruh rakyat Malaysia.

“Kita bukan saja menyaksikan sebuah kisah mengenai legenda wira tanah air tetapi filem ini turut menjadi inspirasi agar sentiasa bersungguh-sungguh mengejar cita-cita terutama belia.

“Chong Wei pernah memberitahu saya bakat sahaja tidak pernah cukup sekiranya tidak disertakan kesungguhan. Itu yang membuatkan dia berjaya seperti sekarang,”Katanya.

Diarahkan Teng Bee, filem terbabit menyaksikan pelakon baharu Tosh Chan membawakan watak Chong Wei manakala Datuk Rosyam Nor memegang peranan sebagai Datuk Misbun Sidek iaitu jurulatih Chong Wei.

Menurut Rosyam Nor, dia sangat teruja dapat beraksi dalam karya besar itu selain yakin bakal menyuntik semangat rakyat Malaysia.

“Menggalas watak sebagai Datuk Misbun Sidek, jurulatih yang bertanggungjawab membina dan membawa kejayaan demi kejayaan buat bintang dunia badminton seperti Chong Wei bukan mudah.

“Saya harap orang ramai teruja menonton filem ini yang akan memberi inspirasi kepada semua,” katanya.

Sepanjang menonton versi potongan pengarah itu, rata-rata penonton seakan-akan cemas setiap kali Chong Wei beraksi di setiap perlawanan badminton.

Malah setiap kali Chong Wei berjaya membalas pukulan daripada Lin Dan, stadium berkenaan bergema dengan sorakan seolah-olah menyaksikan perlawanan sebenar.

Filem biopik itu dijangka ditayangkan di lebih 5,000 pawagam di China, Taiwan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan beberapa negara Asia.

Filem itu akan menggegarkan pawagam tempatan bermula 15 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 9:34 AM