SWIFT bersama Alwyn.
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Walaupun sudah setahun bercinta, penyanyi Taylor Swift dan kekasih barunya, Joe Alwyn jarang kelihatan keluar berdua di khalayak ramai.

Kali terakhir mereka keluar bersama ketika menghadiri majlis Jinggle Ball di New York, Amerika Syarikat, Disember lalu.

Hampir tiga bulan berlalu, pasangan selebriti itu dilihat mendaki bukit di Malibu, baru-baru ini.

Walaupun cuaca agak panas, Swift, 28, dan Alwyn, 27, kelihatan selesa bersiar-siar sambil berpegangan tangan.

Sumber berada di lokasi memberitahu E! News pasangan berkenaan menghabiskan kira-kira satu jam setengah mendaki bukit itu.

Sejak mula bercinta dengan Alwyn yang juga pelakon Britain, penyanyi lagu End Game itu kurang mendedahkan hubungan mereka kepada umum.

Swift juga banyak menghabiskan masanya di kediaman Alwyn di London sebelum kembali ke Amerika Syarikat.

Sumber memberitahu Swift kini sibuk dengan konsert jelajahnya manakala Alwyn belum mempunyai projek baru lakonan.

“Mereka mahu meluangkan masa bersama. Swift juga tidak mahu terlalu banyak mendedahkan mengenai hubungan mereka dan setakat ini perancangannya menjadi.

“Dia seronok bersama Alwyn,” katanya.

Penyanyi itu pernah bercinta dengan beberapa selebriti antaranya pelakon Tom Hiddlestone, produser Calvin Harris, penyanyi Harry Styles, Jake Gyllenhaal dan John Mayer.

Dalam perkembangan lain, Swift mengumumkan akan melancarkan video muzik Delicate pada Anugerah Muzik iHeartRadio yang berlangsung Ahad lalu.

Delicate adalah lagu keempat dalam album terbaru Swift, Reputation mempunyai video muzik.

Tiga lagu lain ialah Look What You Made Me Do, Ready For It? dan End Game.

Minggu lalu, Swift mengumumkan penyanyi Camila Cabello dan Charli XCX akan membuat persembahan pembukaan konsert jelajah Reputation yang akan bermula pada 8 Mei ini di Glendale, Arizona.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 9:40 AM