WAN Sharmila
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Biarpun sering ditawarkan watak pembantu dalam drama, pelakon Wan Sharmila tetap optimis menggalas amanah itu dengan hati terbuka.

Wan Sharmila atau nama sebenarnya, Wan Sharmila Wan Muhamed, 37, berkata, dia tiada masalah untuk bawa watak pembantu asalkan jalan ceritanya berkualiti.

“Saya akui kebelakangan ini sering ditawarkan watak pembantu berbanding karakter utama. Mulanya rasa watak sebegini tidak ada impak, tetapi saya tetap berusaha memberikan warna kepada karakter yang dibawa.

“Malah, saya rasa seperti ditakdirkan untuk menghidupkan watak pembantu berbanding teraju utama. Hakikatnya, watak seperti ini penting untuk menyokong watak utama. Jadi, kena buat yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan pelakon dibuat berdasarkan populariti, Wan Sharmila yang mesra disapa sebagai Lala menyifatkan perkara itu bukan sesuatu yang sihat untuk diterapkan dalam industri seni.

Dia berpendapat bakat serta populariti yang diraih perlu bergerak seiring demi memartabatkan bidang seni.

“Saya rasa ia budaya dalam industri apabila mengambil pelakon atas dasar rupa paras berbanding bakat.

“Ada juga yang diambil berdasarkan jumlah pengikut yang ramai di laman sosial dan tidak kisah sekiranya mereka pandai berlakon atau tidak.

“Namun jika dilihat dari sudut lain mungkin setiap peluang yang diberikan adalah rezeki mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kehidupan peribadi, Lala mengaku masih solo dan tidak pernah menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran lelaki lain selepas bercerai.

“Usia bukan faktor penentu andai saya bertemu jodoh pada masa hadapan. Namun, biar lelaki itu seorang yang boleh membimbing dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

“Saya sudah lama hidup sendiri. Memang teringin nak hidup bahagia dengan kehadiran suami di sisi,” katanya.

Kata Lala, dia sedar sebagai wanita yang sudah lama bergerak sendiri pasti ramai tidak sabar untuk mengetahui berita gembira siapakah jejaka yang bakal mengisi hatinya.

“Keluarga saya sendiri pun tidak sabar untuk tahu dengan siapa saya bakal bercinta dan mendirikan rumah tangga. Terus terang, saya tidak pernah menganggap hal ini sebagai satu beban atau berasa rimas.

“Ini kerana saya sendiri pun ingin tahu siapa jodoh saya nanti. Kadang-kadang terdetik di hati mana tahu apabila ke luar negara saya bakal berjumpa jodoh,” kata Lala dalam nada bergurau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 12:02 PM