BARISAN artis yang menjayakan Konsert Muzika Ekstravaganza 2018 bersama Gobind dan tetamu kehormat yang lain.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Edisi ke-12 Konsert Muzika Ekstravaganza 2018 gabungan Malaysia dan Singapura bertemakan Kebersamaan #kitageng berlangsung dengan meriah di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kuala Lumpur selaku tuan rumah kali ini mengangkat tema itu bagi meraikan kepelbagaian industri hiburan Malaysia dan Singapura dengan kepelbagaian genre seni yang menjadi nadi penyatuan persahabatan sekian lama.

Sebanyak 27 lagu dipersembahkan dalam konsert yang membariskan Dayang Nurfaizah, Azlan & The Typewriter, Aishah, Kilafairy, Altimet, Kaer Azami, Santesh dan Kumpulan Zero dan penari Wakaka Crew.

Singapura pula menampilkan penyanyi seperti Daly Filsuf, Adeep Nahar, Hariani Hassan Bakri, Sufian Ahmad, Rahila Rashun, Sufie Rashid dan Jatt Ali.

Penerbit Konsert Muzika Ekstravaganza 2018 Nor Kuzaimah Abd Aziz berkata, gambaran kerjasama dalam bidang seni berjaya diterjemahkan dalam persembahan ini.

“Kerjasama antara dua negara ini sememangnya berjaya dan mencapai matlamat rancangan ini. #kitageng menggambarkan paduan kerjasama pelbagai sudut iaitu penerbitan rancangan ini, keserasian persembahan artis Malaysia Singapura, kerjasama gubahan semula muzik dan rekaan tarian.

“Ia termasuk perkongsian penonton Malaysia dan Singapura. Kami menerima banyak respons positif daripada penonton. Ia memang berjaya dan menghiburkan,” katanya.


MISHA

Konsert terbitan bersama RTM dan Mediacorp (Singapura) ini disiarkan secara langsung di kedua-dua negara menerusi TV2 dan stesen Suria.

Persembahan artis diiringi alunan muzik yang menggabungkan 25 tenaga pemuzik dari Orkestra RTM di bawah pimpinan Luqman Aziz manakala Orkestra Singapura dipimpin Indra Shahrir Ismail.

Ia juga menggandingkan Misha Omar dan Fauzie Laily sebagai pengacara.

Persembahan dibuka dengan tarian Wakaka Crew diiringi lagu Rasa Sayang di Tanjung Katong.

Kaer Azami dan Rahila Rashun berduet menyampaikan lagu Tak Pernah Hilang dan Hariani Hassan Bakri menyanyikan lagu Tarian Hidupku.

Persembahan lain ialah Sufie Rashid, Rahila Rashun, Kilafairy dan Santesh menyanyikan lagu irama Bollywood, Azlan & The Typewriter (Kukuh) dan berduet dengan Jatt menerusi lagu Hidup Bersama.


SUFIE

Jatt (Suzana & Gadis Ayu), Altimet, Hariani Hassan Bakri, Daly Filsuf serta Kumpulan Dikir Barat 1 Si Anak Seni Singapura (Pak Pung Pak Mustafe), Daly Filsuf (Kau Ada), duet bersama Altimet (Bunga dan Muda), Sufie Rashid (Aku Sendiri), Adeep Nahar (Kasih Kupinjam Wajahmu).

Tidak ketinggalan Misha menyanyikan lagu Sampai Bila, Dayang Nufaizah (Layarlah Kembali) dan duet bersama Adeep Nahar dalam lagu Haram.

Jatt yang juga penyanyi Black Dog Bone seterusnya tampil menyanyikan lagu Dulu & Sekarang, Aishah (Kasih Kita, Tiada Lagi Tangisan, Camar Yang Pulang dan Kau Yang Istimewa).


JATT

Turut memeriahkan konsert ia persembahan lawak jenaka kumpulan Zero yang bergandingan bersama Sufian Ahmad.

Konsert lebih bermakna dengan kehadiran tetamu kehormat dari kedua-dua negara iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo dan Menteri Perhubungan dan Penerangan & Menteri bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Singapura, S Iswaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 12:59 PM