RAMI dikatakan memberi persembahan sempurna lebih daripada gambaran ringkas Freddie.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Demi bertutur seperti Freddie Mercury, pelakon Rami Malek sanggup memakai acuan gigi palsu vokalis kumpulan legenda rock Queen itu ketika tidur setiap malam.

Kesungguhan itu antara persiapan Rami untuk membintangi filem biopik Bohemian Rhapsody yang mengisahkan perjalanan karier seni dan kehidupan Freddie.

Bersemangat memberikan persembahan terbaik mendorong pelakon berusia 37 tahun ini berlatih sebelum filem itu diberikan kebenaran untuk memulakan penggambaran.

Menurut The New York Times, Rami turut menggunakan gigi yang direka khas mengikut bentuk gigi Freddie untuk berlatih menyanyi.

Ternyata, acuan gigi itu cukup berguna ketika penggambaran babak persembahan ikonik Queen di Live Aid pada 1985.

Bagi menghasilkan vokal seakan-akan Freddie, suara Rami digabungkan dengan vokalis itu dan penyanyi Kanada, Marc Martel.

The Times melaporkan Freddie mempunyai gigi yang bertindih kerana ada empat batang tambahan di hujung bahagian atas dan bawah.

Selain itu, bintang siri Mr Robot itu turut bertemu pakar dialek dan pergerakan di London.


ANTARA babak dalam Bohemian Rhapsody.

Dia diminta membuat kajian beberapa individu yang memberi inspirasi kepada Freddie seperti Aretha Franklin, Jimi Hendrix, David Bowie serta persembahan Liza Minnelli dalam filem muzikal Cabaret.

Dalam pada itu, penonton yang diberi peluang menyaksikan Bohemian Rhapsody lebih awal daripada tarikh tayangan perdana memuji persembahan Rami.

Bagaimanapun, ada juga netizen mengkritik lakonan Rami berikutan kurang yakin filem arahan Bryan Singer itu dapat mengetengahkan kehidupan sebenar Freddie.

Kritikan itu bermula selepas video pendek promosi filem Bohemian Rhapsody dilancarkan atas talian.

Vokalis itu adalah biseksual dan meninggal dunia akibat AIDS pada 1991.

Dalam temu bual bersama majalah Attitude, Rami berkata, individu yang mudah mengecam berdasarkan video pendek berdurasi satu minit amat memalukan.

“Bagi saya, filem itu tidak menyembunyi seksualiti sebenar dan penyakit yang dihidapi Freddie.

“Tidak masuk akal apabila orang cepat menjatuhkan hukum hanya berdasarkan video berdurasi satu minit,” katanya.


ANTARA babak dalam Bohemian Rhapsody.

Gitaris Queen seram sejuk

Proses pembikinan Bohemian Rhapsody bukan mudah kerana mengambil 10 tahun untuk disiapkan.

Penantian lama itu membuatkan gitaris utama Queen, Brian May berasa seram sejuk menanti tayangan perdana di London pada 23 Oktober ini.

Brian, 71, turut memuji Rami dan barisan pelakon Bohemian Rhapsody kerana memberi perjuangan adil terhadap Freddie dan Queen selepas vokalis itu meninggal dunia 27 tahun lalu.

“Rami memberi persembahan sempurna lebih daripada gambaran ringkas Freddie.

“Selama beberapa bulan, Rami betul-betul menjadi seperti Freddie. Sampai ada kalanya kami terlupa dia adalah Rami,” katanya.


BAKAL temui penonton tanah air mulai 1 November depan.

Brian yang juga produser bersama Bohemian Rhapsody berkata, empat pelakon yang membawa watak anggota lain Queen berjaya memaparkan keserasian sebagai satu kumpulan.

“Rami khususnya berjaya mendalami masalah kekurangan diri dihadapi Freddie.

“Tiada pelakon lain yang boleh menjiwai watak Freddie di layak Perak sebagus Rami,” katanya.

Watak anggota kumpulan Queen dibintangi pelakon Gwilym Lee, Ben Hardy dan Joseph Mazzello.

Filem Bohemian Rhapsody menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 1 November ini.


ANTARA babak dalam Bohemian Rhapsody.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:59 PM