Yassin tidak terasa hati jika tidak ditegur penyanyi generasi baru. FOTO fail HM Digital
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


KOMPOSER dan penyanyi, Yassin Sulaiman, 43, akui tidak terkilan mahu pun terasa hati jika dia tidak dikenali atau ditegur oleh penyanyi generasi baru.

Yassin ditemui berkata dia bersikap terbuka dan positif kerana sama ada mereka (penyanyi baru) mengenali atau tidak dirinya, itu hak masing-masing.

"Begitu juga, kalau tidak ditegur jika kami bertemu di majlis hiburan, saya tidak akan berkecil hati pun dengan penyanyi baru ini.

"Bagi saya, kalau ditegur jawablah. Jika tidak, biarkan saja. Ia bukan satu paksaan untuk orang menegur atau mengenali saya.

“Perkembangan industri hiburan tanah air masa kini pun sudah banyak berubah. Jauh berbeza dari era kemunculan saya dahulu.

"Jadi, saya harus akur dan okay saja dengan pembabitan penyanyi baru yang ada di antara mereka ini memiliki bakat tambahan seperti kemahiran bermain alat muzik dan mencipta lagu," katanya.

Menurut penyanyi lagu Mimpi Laila dan Nur Kasih itu lagi, dia juga tidak berasa tergugat dengan kebolehan penyanyi baru dalam penciptaan lagu.

"Pada era sekarang, apa saja bidang kerja diceburi setiap individu perlu ada kemahiran diri yang pelbagai. Tidak boleh terikat dengan satu kebolehan saja.

“Jadi, saya sangat hormati bakat kebanyakan penyanyi baru yang boleh bermain muzik termasuk mencipta lagu mereka sendiri.

"Untuk saya, masih saja boleh terus berkarya untuk dinyanyikan sendiri atau memenuhi permintaan penyanyi lain yang mahukan lagu saya," katanya.

Yassin hingga kini tidak pernah berhenti berkarya, masih kekal dan selesa memperjuangkan lagu-lagu berentak "world music" yang berjaya melonjakkan nama dan bakat seninya sekitar tahun 2000.

Terbaru, bagi meneruskan kesinambungan karier nyanyiannya, Yassin muncul dengan single baru ciptaannya berjudul Hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 4:27 PM