JUNG Yonghwa.
Georgie Joseph

georgie@hmetro.com.my.

Annyeonghaseyo! Anggota CNBLUE iaitu Jung Yonghwa pastinya kini menarik nafas lega apabila dibebaskan daripada tuduhan kes pemberian keutamaan memasuki sebuah universiti di Korea Selatan.

Berita gembira itu diumumkan agensinya FNC Entertainment yang menyifatkan kemasukan Yonghwa ke universiti berkenaan adalah mengikut protokol.

“Kami ingin memberi perkembangan berita mengenai artis kami berkenaan kemasukannya mengikuti pengajian itu.

“Awal tahun ini, dia memberikan kerjasama yang sangat baik kepada polis sepanjang siasatan. Polis merumuskan kemasukannya tidak melanggar sebarang protokol.

“Pada Julai lalu, dia akhirnya dibebaskan daripada tuduhan. Dengan pembebasan itu membuktikan bahawa dirinya berniat meminta keutamaan bagi kemasukan itu,” kata wakil agensi.

Menurut agensi itu lagi, berlaku salah faham yang menyabitkan Yonghwa terhadap pertuduhan berkenaan.

“Dia juga sudah meleraikan semua salah faham yang berlaku dalam misi untuk mendapatkan ijazah sarjananya.

“Terkini, Yonghwa dalam proses menjalani perkhidmatan dalam Unit Pertahanan Khas 702 selepas tersenarai masuk pada Mac tahun ini,” kata agensi itu.

Terdahulu, Yonghwa terpalit kontroversi apabila dikatakan memasuki Universiti Kyung Hee di Seoul selepas menipu dengan meminta keutamaan khas supaya dapat menyambung pengajiannya.

Disebabkan skandal terbabit, namanya digugurkan daripada menjadi duta Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang tahun ini.

Tidak lama kemudian, dia diumumkan tersenarai menjalani latihan khidmat ketenteraan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 11:59 AM